Pegawai Kanan Polis Antara Tujuh Dituduh Membunuh

Pegawai Kanan Polis Antara Tujuh Dituduh Membunuh

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Tujuh lagi individu termasuk seorang pegawai kanan polis bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam berhubung kes pembunuhan pemandu e-hailing yang menarik perhatian negara sejak penemuan mayat mangsa pada 16 Januari lalu.

Lima pegawai dan anggota polis iaitu Rosdi Rastam, 44; Dennis Anak Enit, 44; Fabian Rungam, 43; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 39 dan seorang orang awam, Vivien Fabian, 34; didakwa bersubahat untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang kelapa sawit dekat Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5, antara 7.30 malam dan 11.30 malam pada 13 Januari.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, didakwa bersubahat dengan kesemua enam tertuduh lain untuk membunuh mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.