KGKS Gesa KPM Pertimbang Pengambilan Guru Kalangan Anak Jati Sabah 

KGKS Gesa KPM Pertimbang Pengambilan Guru Kalangan Anak Jati Sabah 

0
SHARE
KGKS
Presiden Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS), Mohd Kifflee Alli dalam satu sidang media khas

KOTA KINABALU, SABAH – Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mempertimbangkan pengambilan guru dari kalangan anak jati Sabah bagi mengisi kekurangan guru negeri ini.

Presidennya, Mohd Kifflee Alli berkata perkara terbabit harus diberi perhatian kerana pihaknya berpandangan ia merupakan langkah mengatasi kadar pengangguran khususnya graduan bidang pendidikan di Sabah.

Selain itu, ia juga dilihat dapat mengelakkan lebih ramai tenaga kerja negeri ini berhijrah ke luar.

Menurutnya, isu pengangguran yang serius di negeri ini perlu dilihat secara holistik dan ditangani secara bersama oleh semua pihak dimana salah satunya menerusi penglibatan KPM dengan memanfaatkan tenaga graduan daripada kalangan anak jati Sabah sebagai pendidik.

“Justeru, kami mencadangkan agar KPM segera melaksanakan tindakan serampang dua mata dengan mewujudkan permohonan khas jawatan guru kepada graduan anak jati negeri Sabah.

“Ini sebagai langkah bagi mengatasi masalah kekurangan guru sekaligus mengurangkan kadar pengangguran di Sabah.

“Selain itu, KGKS juga memohon supaya guru
Contract Of Service ( COS ) yang sedang berkhidmat dan masih berstatus kontrak agar dipermudahkan laluan mereka menjadi guru tetap sekiranya mempunyai kelayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang khas bertempat di Ibu Pejabat KGKS, di sini, semalam.

Mohd Kifflee dalam pada itu turut berkata berdasarkan kutipan data yang dibuat oleh KGKS, terdapat seramai 111 orang graduan di negeri ini yang memohon menjadi guru manakala 74 orang calon yang sudah memohon COS pada tahun 2021 namun tidak dipanggil untuk temuduga.

Katanya, kadar pengangguran di Sabah pada suku ketiga tahun lepas mencatatkan sebanyak 8.2 peratus atau 174,200 orang termasuk graduan sektor pendidikan perlu dilihat secara serius.

“Kami tidak mahu lebih ramai bakat dinegeri ini keluar berhijrah seperti apa yang berlaku pada tahun 2020 apabila seramai 45,900 orang tenaga kerja Sabah dilaporkan oleh Kementerian Sumber Manusia berhijrah mencari peluang kerja di luar.

“Ini merupakan isu ‘brain drain’ yang sangat kronik bagi negeri ini.

“Oleh itu, mekanisme terbaik yang boleh diambil oleh sektor pendidikan pada ketika ini bagi menangani isu kekurangan guru di Sabah adalah dengan memanfaatkan terlebih dahulu bakat dalam kalangan graduan siswazah negeri ini yang ingin menjadi guru.

“Dengan itu, bukan sahaja isu kekurangan guru dapat diatasi, malah sedikit sebanyak KPM juga akan dianggap prihatin terhadap masalah pengangguran dan kehilangan tenaga kerja mahir di negeri ini,” katanya.