Anggaran 300 Pengemis Jalanan Kota Kinabalu Bakal Diselamatkan – James

Anggaran 300 Pengemis Jalanan Kota Kinabalu Bakal Diselamatkan – James

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib telah mengetuai satu operasi bersepadu bagi menyelesaikan isu Pelauh dan pengemis di Bandaraya Kota Kinabalu, semalam.

Operasi itu disertai pegawai dan penguatkuasa dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Imigresen, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga beberapa agensi lain terlibat.

Pelaksanaan operasi terbabit bertujuan untuk membersihkan kawasan DBKK daripada Pelauh dan pengemis di jalanan.

Dalam operasi itu seramai 31 orang yang mana 10 wanita, tiga lelaki dewasa dan 18 kanak-kanak berjaya diselamatkan dan dihantar ke Pusat Perlindungan Sementara.

Walau bagaimanapun, James berkata usaha sedemikian tidak akan berhenti.

“Malah ianya akan dipergiatkan lagi pada masa akan datang. Operasi akan diteruskan sehingga kawasan bandar Kota Kinabalu bersih daripada Pelauh dan pengemis.

“Saya telah berbincang dengan MKN tentang bagaimana supaya dapat mengukuhkan lagi operasi sebegini. Dianggarkan jumlah mereka yang terlibat mungkin mencecah sehingga 300 orang.

“Usaha seumpama itu tidak terhad kepada Kota Kinabalu sahaja, malah ia akan diperluaskan ke seluruh Sabah termasuk kawasan Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

“Usaha memerangi serta menyelamatkan mereka dipergiat di seluruh Sabah sehingga mereka tidak lagi berada di tepi-tepi jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan.

Disamping itu, James juga berkata mereka yang diselamatkan akan diajar kemahiran dan sebagainya kemudian pihak berkuasa akan menentukan agensi mana yang boleh menerima dan menempatkan mereka nanti.

“Buat masa ini, kita menempatkan mereka di pusat perlindungan terlebih dahulu dan mengajar dan melatih mereka.

“Kapasiti Pusat Penempatan Sementara untuk tujuan ini setakat ini mampu menampung anggaran bilangan Pelauh dan peminta sedekah.

“Jika ada keperluan, kami akan menambah lebih banyak ruang untuk menampung angka sebenar,” katanya.