KOTA KINABALU: Ketua Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Emmie Datuk Martin Idang memacu semangat perjuangan jentera wanita muda parti dengan menyifatkan Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2025 sebagai medan terakhir menyusun barisan sebelum menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Dalam ucapan dasarnya pada PAT Beliawanis baru-baru ini, Emmie menegaskan bahawa Sayap Beliawanis kini bukan lagi sekadar pelengkap organisasi, tetapi telah menjadi tonggak utama dalam gerak kerja pilihan raya dan medan perjuangan politik negeri.
“Kita bukan lagi harapan masa depan, kita adalah penggerak masa kini. Ini waktu untuk bangkit, bersatu, dan mengorak langkah sebagai jentera wanita muda yang tidak pernah kenal erti kalah,” tegasnya.
Beliau turut memberi peringatan bahawa suasana politik hari ini semakin dipenuhi permainan emosi dan persepsi yang dibawa pihak pembangkang, yang menurutnya hanya gah menabur janji tetapi tidak membawa rekod pencapaian yang boleh dibanggakan.
“Mereka datang dengan janji, kita tampil dengan bukti. Mereka bermain persepsi, kita berdiri dengan realiti. Mereka bergantung pada populariti sementara, kita berjuang dengan integriti yang berpanjangan,” katanya.
Emmie menggesa seluruh jentera Beliawanis agar tidak leka atau bertahan semata-mata, sebaliknya tampil sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan dasar, menyebarkan fakta sebenar dan menjadi penghubung langsung antara rakyat dengan pencapaian kerajaan negeri pimpinan Gagasan Rakyat.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan Beliawanis bukan terletak pada jumlah semata-mata, tetapi pada semangat juang dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan parti dan negeri.
“Let the opposition promise the stars, we will continue laying the foundation for a better tomorrow,” tegas Emmie dalam seruan yang menyerlahkan keyakinan penuh terhadap misi Gagasan Rakyat menjelang PRN.






