PENAMPANG, SABAH – Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan kanopi bernilai lebih RM66,000 kepada 434 peniaga kecil dan penjaja Tamu Donggongon.
Kesemua peniaga itu yang sebelum ini berniaga di Tamu Donggongon dipindahkan sementara di tapak baharu berdekatan Tugu Peringatan Datuk Peter Mojuntin bagi memberi laluan kepada kerja-kerja awal penaiktarafan Tamu Donggongon.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berharap, sumbangan kanopi itu dapat memberi manfaat kepada para peniaga terbabit untuk meneruskan aktiviti perniagaan di kawasan itu.
“Selaku Ahli Parlimen Penampang saya telah memenuhi permintaan mereka untuk dibekalkan satu kanpoi setiap pengusaha. Mudah-mudahan ini dapat memberi manfaat kepada mereka untuk meneruskan aktiviti keusahawanan.
“Saya juga berharap projek penaiktarafan Tamu Donggongon itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan supaya peniaga-peniaga tamu dapat kembali berniaga di tamu tersebut dengan kemudahan yang lebih selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis ringkas penyampaian sumbangan kanopi kepada wakil penjaja dan peniaga kecil-kecilan Tamu Donggongon, di sini, semalam.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Penampang dan semua jabatan teknikal yang terlibat terutama dalam mengekalkan identiti asal rekabentuk Tamu Dongongon yang akan dilaksanakan.
“Ini (Tamu Donggongon) antara satu projek tertangguh di Penampang yang saya percaya menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan ianya dapat dimulakan atau disiapkan semasa saya menjadi wakil rakyat.
“Sebab itu, sebaik diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Penampang pada Disember 2022, perkara pertama yang saya laksanakan ialah membawa Ketua Pengarah ICU Jabatan Perdana Menteri Datuk Ruji Ubi pada ketika itu untuk meninjau bersama kawasan Tamu Dongongon dan saya telah meminta dan mendesak supaya ianya dipercepatkan,” katanya.
Beliau berkata, kos pembangunan semula Tamu Donggongon melibatkan peruntukan RM8.5 juta.