RM20 Juta Peruntukan Tamu Desa Untuk Sabah, Sarawak Tahun Depan – Ewon

RM20 Juta Peruntukan Tamu Desa Untuk Sabah, Sarawak Tahun Depan – Ewon

0
SHARE
Ewon
Ewon menyampaikan sumbangan CSR SKM kepada wakil JKKK Kg.Sayap. Turut melihatan Pengerusi Eksekutif SKM Rusli Jaafar (dua dari kiri) dan Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin (kanan sekali) - ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP)

KOTA BELUD, SABAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf kemudahan Tamu-Tamu Tradisi atau Tamu Desa di Sabah dan Sarawak tahun depan.

Beliau berkata, peruntukan itu telahpun diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan Belanjawan Madani 2024, baru-baru ini.

“Dalam sesi libat urus yang kita laksanakan sebelum ini bersama usahawan dan peniaga kecil-kecilan di tamu tradisi, ada cadangan daripada mereka supaya kerajaan dapat membantu menaiktaraf kemudahan tamu desa mereka.

“Sehubungan itu, saya telah mencadangkan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan pasukan petugas belanjawan persekutuan supaya peruntukan khas bagi menaiktaraf Tamu-Tamu Desa di Sabah dan Sarawak yang berada di luar kawasan atau bidang kuasa Majlis Daerah dapat disediakan dalam Belanjawan 2024 dan disalurkan kepada kementerian saya.

“Cadangan ini juga berasaskan kepada lawatan-lawatan saya sebelum ini di beberapa tamu tradisi komuniti di Kadamaian seperti Tamu Sayap, Tamu Sumbilingon, Tamu Pinolobu, Tamu Melangkap dan Tamu Kiau.

“Peruntukan ini telahpun diumumkan dan dimasukkan dalam belanjawan persekutuan tahun 2024. Ini sudah tentunya akan memberi manfaat kepada para peniaga di tamu-tamu desa di Sabah dan Sarawak. Peruntukan ini juga buat kali pertama diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi Peringkat Zon Ulu Wariu (NATESA), di Dewan Serbaguna SIB Kampung Nahaba, di sini, semalam.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berharap peruntukan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peniaga kecil-kecilan di tamu-tamu desa atau tradisi di Sabah dan Sarawak.

Mengenai Pelan Pembangunan Kadamaian 2020 – 2035, beliau berkata, ia menjadi panduan dan input bagi rancangan pembangunan di kawasan Kadamaian.

Beliau berkata, antara hasil daripada Pelan Pembangunan itu ialah, pelaksanaan projek penaiktarafan beberapa jalan utama di Kadamaian iaitu Jalan Tengkurus – Lahanas dan Jalan Sayap – Mansulit yang sedang dilaksanakan serta Jalan Tambuluang – Podos yang sedang ditender oleh Jabatan Kerja Raya.

“Apabila siap kelak ia bukan sahaja memudahkan serta memberi keselesaan kepada penduduk kampung untuk bekerja, menghantar anak ke sekolah, memasarkan hasil pertanian tetapi juga meningkatkan peluang dalam aktiviti ekonomi khususnya industri pelancongan di kampung berkenaan,” katanya.