KJ Sah Bakal Jadi DJ Hot FM Rabu Depan

KJ Sah Bakal Jadi DJ Hot FM Rabu Depan

0
SHARE
KJ
Gambar poster Khairy Jamaluddin menjadi DJ Hot FM ( Sumber Foto: Gambar Google )

KUALA LUMPUR – Media Prima Audio (MPA) hari ini mengesahkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bakal bertugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM, mulai Rabu minggu hadapan.

Memetik sumber Berita Harian, MPA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan beliau yang lebih mesra dipanggil KJ itu akan mengendalikan segmen Bekpes Hot di stesen radio terbabit.

Pagi tadi, Khairy turut mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal.

Kenyataan MPA menyebut di mana minggu lalu, tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.

MPA turut menambah, selaras dengan ‘tagline’ stesen radio Hot FM iaitu ‘Yang Hangat dan Terbaik’, kehadiran Khairy bersama tonggak utama Bekpes Hot bakal memberj suntikan baharu buat Hot FM dan warna yang lebih menarik untuk segmen terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, peluang menawarkan Khairy sebagai penyampai radio diambil Hot FM bagi memastikan pengisian dan kandungan segmen Bekpes Hot lebih segar dan relevan kepada pendengar.

“Khairy atau KJ bukan sahaja ahli politik dan pemimpin yang hebat, tetapi juga beliau pempengaruh yang mempunyai impak besar buat rakyat Malaysia.

“Kehadiran KJ bukan hanya akan memberi sesuatu yang berbeza kepada pendengar menerusi gandingan ahli politik, pelawak dan penyampai radio, tetapi dimensi baharu untuk landskap radio negara.

“Pengisian dan kandungan segmen akan diolah untuk menjadi lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan serta mampu memberi aura positif kepada pendengar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.