Demi Kebaikan Sabah, GRS Sertai Kerajaan Perpaduan

Demi Kebaikan Sabah, GRS Sertai Kerajaan Perpaduan

0
SHARE
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor ketika ditemui pemberita selepas sesi pembentangan Belanjawan 2023 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah...(Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah)

KOTA KINABALU, SABAH – Demi kebaikan negeri Sabah, kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyertai Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya telah memaklumkan berkenaan hasrat terbabit kepada Anwar.

“Saya telah sampaikan hasrat kerajaan negeri di bawah pimpinan saya, GRS kepada Anwar…

“Demi kebaikan negeri Sabah, kestabilan politik dan sebagainya maka kita telah memberi sokongan kepada beliau dan kerajaan beliau,” katanya.

Hajiji yang juga merupakan Ketua Menteri Sabah itu turut berkata pihaknya tidak mahu segala rancangan membabitkan kepentingan rakyat dan negeri terganggu disebabkan kemelut politik.

“Kita ada tiga tahun lagi untuk memerintah negeri Sabah, jadi kita tidak mahu terlalu berpolitik dan bermacam gangguan kerana bagi kita, yang penting ialah kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi pembentangan Belanjawan 2023 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut berkata jalinan kerjasama pihaknya dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak akan menjejaskan hubungan GRS dengan Barisan Nasional (BN) Sabah.

“Saya ingat tiada masalah. Semua pemimpin parti berfikiran matang. Mereka juga memikirkan negeri ini dan rakyatnya…

“Apa yang penting kita memberi fokus kepada pemulihan ekonomi, membangunkan negeri Sabah serta memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, Hajiji turut ditanya pemberita sekiranya kerajaan negeri akan membuat tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, beliau berkata pihaknya menyerahkan segala keputusan kepada pucuk pimpinan kerajaan Persekutuan di Putrajaya.