Main Tapuk-Tapuk, Remaja 14 Tahun Maut Ditembak di Keningau

Main Tapuk-Tapuk, Remaja 14 Tahun Maut Ditembak di Keningau

0
SHARE

KENINGAU: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut akibat terkena tembakan senapang buatan sendiri ketika bermain tapuk-tapuk bersama rakannya di sebuah rumah di Jalan Kem PPH, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang pelajar Tingkatan Dua ditembak dari jarak kira-kira tiga meter selepas rakannya secara tidak sengaja melepaskan tembakan menggunakan senjata ‘bakakuk’.

Rakan mangsa yang juga berusia 14 tahun dipercayai tidak menyedari senjata itu sudah berisi peluru.

Mangsa segera dibawa penduduk kampung ke Hospital Keningau sejurus selepas kejadian, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati suspek melihat mangsa memegang senapang berkenaan di luar rumah sebelum insiden berlaku.

“Semasa mereka bermain sembunyi-sembunyi, mangsa bersembunyi di bawah rumah. Suspek dipercayai secara tidak sengaja menarik picu lalu melepaskan tembakan ke arahnya,” katanya.

Panik dengan kejadian itu, suspek dikatakan terus meminta bantuan penduduk sebelum mangsa dihantar ke hospital.

Pemeriksaan perubatan mendapati terdapat 14 kesan tembakan peluru biji pada bahagian dada, lengan, lutut dan sisi kiri tubuh mangsa.

Polis turut merampas senjata berkenaan daripada keluarga suspek.

Siasatan mendapati adik suspek berusia 13 tahun telah menyembunyikan senapang itu yang merupakan milik bapa mereka berusia 70 tahun.

Ketiga-tiga ahli keluarga terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Polis turut merampas senjata bakakuk, peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian suspek serta dua telefon bimbit,” katanya.

Bedah siasat mangsa telah dijalankan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.