Sabah Pengeluar Utama Biji Koko Negara – Siti Aminah

Sabah Pengeluar Utama Biji Koko Negara – Siti Aminah

0
SHARE
Aminah
Siti Aminah bergambar kenangan bersama kakitangan LKM ( Sumber Foto: Ihsan Kementerian Perladangan dan Komoditi )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah merupakan pengluar utama biji koko negara dimana ia turut menyumbang sebanyak 57 peratus daripada jumlah keluasan tanaman koko negara seluas 3,444 hektar.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata petani koko di negeri ini turut menyumbang kepada pengluaran biji koko serta coklat premium termasuk coklat Bean-To- Bar, coklat Single Origin dan Artisanal Chocholate antaranya adalah petani koko di Kota Marudu dan Keningau.

Sehubungan dengan itu Siti Aminah berkata beliau mahukan industri ini dimajukan sebagai satu industri pertanian yang mampu meningkatkan taraf pendapatan seharian khususnya kepada petani koko di negeri ini.

“Potensi tanaman koko di negeri ini boleh dimajukan dan dikembangkan lagi. Sehubungan dengan itu, galakan perlu diberikan kepada pekebun melalui penyelidikan bantuan serta khidmat nasihat kepada pekebun untuk terus meningkatkan kualiti tanaman koko mereka” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama kaki tangan Lembaga Koko Malaysia di Ibu Pejabat (LKM) di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah (LKM) Dr Ramle Kasin dan Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan LKM, Dr Ahmad Kamil Mohd Jaafar.

Menurut Siti Aminah dalam tahun 2023 LKM akan melaksanakan projek Tanaman Baharu (TB23) dengan sasaran keluasan 200 hektar di seluruh negara. Dari jumlah tersebut, 100 hektar untuk di Sabah, 80 hektar di Sarawak dan 20 hektar di Semenanjung Malaysia.

Beliau menambah industri hiliran di Sabah kini terdiri daripada empat syarikat pengilang coklat dan konfekasi koko serta 34 usahawan coklat tempatan dimana pada tahun 2022 nilai jualan usahawan coklat di Sabah adalah berjumlah RM792,351.

“Selaras dengan Pelan Strategi Lembaga Koko Malaysia (PSLKM) saya berharap program-program pembangunan untuk meningkatkan pengluaran koko,kemampanan koko akan terus digerakkan bagi meningkatkan pengluaran koko dan pendapatan petani dan usahawan” katanya.

Siti Aminah juga berkata usaha berterusan dari (LKM) akan dapat membantu meningkatkan lagi hasil jualan usahawan dan menambah bilangan pengusaha Koko di Malaysia.