KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menolak dengan hormat tawaran Perdana Menteri sertai Kerajaan Perpaduan dan kekal teguh untuk memilih sebagai pembangkang yang mana akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mereka akan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen.
PN terdiri daripada lima buah parti komponen iaitu Bersatu, PAS, SAPP, Gerakan dan STAR.
“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 dengan Kerajaan Persekutuan diterajui oleh Pakatan Harapan (PH).
“Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.





