PH Sabah Sokong Ketua Menteri Terajui Kerajaan

PH Sabah Sokong Ketua Menteri Terajui Kerajaan

0
SHARE
Kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang diketuai oleh ADUN Kadamaian Ewon Benedick dan turut dihadiri ADUN Luyang Phoong Jin Zhe, Jannie Lasimbang (Kepayan), Pito Galim (Inanam) dan Tan Lee Fatt (Likas)...

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah menyatakan sokongan mereka kepada Ketua Menteri Hajiji Noor untuk terus menerajui kerajaan negeri sehingga habis penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berbaki tiga tahun lagi.

Sokongan itu dinyatakan mereka ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Hajiji di DUN, hari ini.

Kunjungan itu diketuai ADUN Kadamaian Ewon Benedick dan turut dihadiri ADUN Luyang Phoong Jin Zhe, Jannie Lasimbang (Kepayan), Pito Galim (Inanam) dan Tan Lee Fatt (Likas).

“ADUN-ADUN PH Sabah mengalu-alukan sokongan GRS dalam kerajaan perpaduan seperti mana diumumkan perdana menteri hari ini…

“Kami juga menyatakan sokongan kepada Hajiji dan seterusnya kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dan perjuangan hak-hak Sabah dapat dijayakan bersama,” kata Ewon dalam satu kenyataan yang dipetik FMT.

Sementara itu, Ewon yang juga bakal presiden UPKO turut berterima kasih kepada Hajiji kerana bersetuju melibatkan semua ADUN PH Sabah dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan daerah dan jawatankuasa penggunaan tanah daerah bermula tahun depan.

“Pada saya dan ADUN-ADUN PH Sabah, kita tidak mahu terlalu banyak politik sehingga menjejaskan kestabilan kerajaan…

“Di peringkat Persekutuan, kita membentuk kerajaan perpaduan dan pendekatan yang sama boleh dilaksanakan di Sabah,” katanya.