PRU14: Parti Harapan Rakyat Letak Calon Bagi DUN Dan Parlimen Di Sabah...

PRU14: Parti Harapan Rakyat Letak Calon Bagi DUN Dan Parlimen Di Sabah – Lajim

0
SHARE

BEAUFORT, SABAH – Parti Harapan Rakyat (Harapan) akan meletakkan calonnya bertanding disebahagian besar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya , Datuk Lajim Ukin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kawasan bagi memastikan calon Harapan dapat bertemu satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN).

“Setakat ini kita (Harapan) sudah mengenal pasti lebih kurang 26 hingga 28 kawasan DUN, termasuk kebarangkalian bertanding di 11 atau 12 kerusi parlimen di negeri ini.

“Semua ini bergantung kepada perundingan antara rakan parti komponen Gabungan Sabah (USA) yang pastinya sudah mengenal pasti beberapa kawasan berpotensi untuk calon mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Harapan dan Gabungan Sabah yang diadakan di kediamannya di Kampung Kebatu, pada Isnin.

Pakatan parti pembangkang dalam USA terdiri daripada Parti Harapan, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

Hadir sama Pengerusi USA, Datuk Mohd Noor Mansor; Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee; Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden PPRS, Datuk Mohd Arshad Abdul Mualap.

Ketika ditanya kemungkinan wujud kerjasama dengan Parti Warisan, Lajim memberitahu pintu perbincangan masih terbuka untuk membentuk pakatan antara kedua belah pihak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Klias berkata, perjuangan mengubah kerajaan di negeri ini hanya mampu dilaksanakan melalui kerjasama erat.

“Kita masih terbuka untuk berbincang dengan mereka (Warisan) kerana tujuan kita dalam perjuangan ini bukan bersifat dominan tetapi lebih kepada perpaduan dalam berkongsi satu matlamat.

“Namun, semuanya terserah kepada pimpinan Warisan (Datuk Seri Shafie Apdal) kerana peluang menumbangkan UMNO/BN lebih cerah jika kita bekerjasama berbanding bergerak bersendirian.

“Terpulang kepada strategi masing-masing kerana gabungan kekuatan kita semua mampu merealisasikan perjuangan untuk membela hak dan kepentingan rakyat Sabah,” tegasnya.

Beliau turut berkeyakinan gabungan parti dalam USA mampu memberi tentangan hebat kepada UMNO/BN sekali gus menyebabkan parti kerajaan itu kehilangan lebih banyak kerusi pada PRU14.

Dalam perkembangan lain, Lajim berkata bahawa USA akan mengadakan konvensyen di beberapa zon di seluruh negeri Sabah.

Katanya, pihaknya juga sudah menetapkan tarikh dan lokasi untuk tujuan itu yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Seketariat akan mengumumkan lokasi serta tarikh konvesyen ini yang akan turut dihadiri semua presiden parti gabungan USA,” katanya.

– HarianEkspres