Gabungan Sabah Makin Kukuh Selepas PCS Tinggalkan Parti – Dr Jeffrey

Gabungan Sabah Makin Kukuh Selepas PCS Tinggalkan Parti – Dr Jeffrey

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Tindakan Parti Cinta Sabah (PCS) meninggalkan Gabungan Sabah (USA) pada mulanya menjejaskan perikatan itu dari segi psikologi, tetapi mereka kini telah menerima hakikat tersebut.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengakui bahawa apabila PCS pergi, perikatan pembangkang tempatan itu amat terjejas disebabkan persepsi buruk orang ramai terhadap ‘perceraian’ itu.

“Tetapi kemudian, kami sedar bahawa ia lebih baik untuk kami dalam jangka masa panjang. Jika seseorang mahu menjadi ahli tetapi selepas itu mengubah fikiran mereka, ia tentu akan menjadi masalah bagi kami jika mereka mahu pergi, lebih baik pergi sekarang.

“Kami mahu perikatan ini kukuh dan dari satu segi, saya boleh katakan perikatan telah menjadi lebih kukuh walaupun selepas PCS meninggalkannya. Kami dahulunya bertiga, tetapi sekarang kami berempat. Dan bilangannya mungkin bertambah dengan beberapa lagi mempertimbangkan idea untuk menyertai kami,” katanya semasa satu sidang media selepas menutup konvesyen pertama parti itu di sini, Ahad lepas.

Konvesyen itu dihadiri oleh 428 peserta dari seluruh Sabah. Jeffrey juga disertai oleh pemimpin-pemimpin dari perikatan iaitu; Pengerusi USA Datuk Mohd Noor Mansoor, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) Datuk Mohd Arshad Abdul Mualap.

Mengulas sama ada perikatan itu telah mendengar apa-apa daripada parti Warisan Sabah yang diketuai oleh bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal, Noor berkata setakat ini tiada komunikasi antara dua parti itu.

Bagaimanapun, beliau berkata Warisan tidak akan dipujuk untuk menyertai perikatan itu kerana mereka masih boleh bekerjasama.

“Kami tidak menutup pintu untuk berbincang. Kami tahu apa yang kami lakukan, apa yang kami mahu untuk Sabah. Kami sentiasa boleh berbincang dengan parti pembangkang lain, termasuk Warisan.

“Sebaliknya, jika kami memastikan terdapat sesetengah perjuangan mereka yang bercanggah dengan agenda kami, maka ia mungkin sedikit sukar,” katanya.

Malahan, kata Noor, tiada kontrak bertulis antara ahli-ahli perikatan itu kerana persefahamannya hanya berdasarkan kepercayaan dan keyakinan dengan keikhlasan masing-masing.

Bagaimanapun, Noor tidak sampai mengisytiharkan bahawa perikatan itu juga terbuka untuk bekerjasama dengan perikatan pembangkang Malaya, Pakatan Harapan.

“Pokoknya, kami boleh berbincang dengan sesiapa sahaja. Sama ada kami akan mencapai persetujuan atau tidak, itu perkara lain,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey berkata keadaan politik sekarang ini, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di seluruh dunia, menunjukkan kembali kepada nasionalisme.

Bersandar pada kepercayaan itu, beliau amat yakin bahawa parti pembangkang tempatan termasuk perikatan itu yang berjuang untuk agenda nasionalis akan menang dalam pilihan raya akan datang.

“Sebab inilah kami mahu menambah keahlian kami secara agresif juga kerana berdasarkan pengalaman terdahulu, undi kami kebanyakannya daripada ahli kami. Kami juga mendapat beberapa undian daripada bukan-ahli, tetapi itu adalah bonus dan kami tidak mahu bergantung pada bonus sahaja. Kami mahukan kepastian,” katanya.

Buat masa ini, parti itu yang didaftarkan pada tahun lepas mempunyai kira-kira 32,000 ahli. Sebelumnya pra-pendaftarannya, parti mempunyai lebih 300,000 ahli pentadbiran.

– HarianEkspres