Tidak Perlu Lagi Imbas Suhu, Hanya Imbasan Kod MySejahtera – Khairy

Tidak Perlu Lagi Imbas Suhu, Hanya Imbasan Kod MySejahtera – Khairy

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju untuk mengeluarkan penggunaan wajib pengimbas suhu di premis daripada prosedur operasi standard (SOP) kawalan COVID-19 di seluruh negara tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata hanya imbasan kod MySejahtera diperlukan setiap kali memasuki mana-mana premis.

“Kita akan bawa usaha penambahbaikan SOP ini ke mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara), selepas dipinda pada sesi (mesyuarat) kuartet (menteri COVID-19) akan datang, ia (pengimbas suhu) tidak lagi diwajibkan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini semalam.

“KKM juga bersetuju untuk mengeluarkan ini (pengimbas suhu). Ini adalah membabitkan pengumuman SOP seluruh negara yang mana perkara ini akan dibawa ke mesyuarat MKN…

“Tetapi KKM telah bersetuju supaya kita keluarkan penggunaan wajib pengimbas suhu daripada SOP.

“Jadi selepas dipinda nanti SOP pada sesi mesyuarat kuartet (COVID-1) akan datang, tidak lagi diwajibkan premis ada pengimbas suhu lagi. Memadai hanya imbas MySejahtera,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata langkah untuk tidak mewajibkan pengimbas suhu, berikutan KKM mendapati ia bukan langkah yang boleh mengekang penularan COVID-19.

Khairy Jamaluddin…

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang tidak sihat dan bergejala supaya kekal berada di rumah bagi membendung penularan penyakit.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan tempoh kuarantin bagi pengembara yang telah menerima dos penggalak adalah selama LIMA (5) hari berbanding TUJUH (7) hari sebelum ini, berkuat kuasa 24 Jan.

Beliau berkata pengembara perlu menjalani ujian RT-PCR dijalankan DUA (2) hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif COVID-19.

“Ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dibuat pada hari ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa. Pelepasan kuarantin pada hari kelima jika ujian pengesanan COVID19 RT-PCR pada hari keempat atau RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari kelima adalah negatif,” katanya.

Khairy berkata bagi pengembara yang belum menerima dos penggalak tetapi telah lengkap divaksin, tempoh kuarantin adalah selama tujuh hari manakala bagi pengembara yang tiada atau belum lengkap vaksin, tempoh kuarantin adalah 10 hari.

Beliau berkata pengembara akan diberikan digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan tidak lagi dipasang gelang pengawasan biasa.

Namun bagi pengembara dari negara berisiko tinggi yang menjalani kuarantin di rumah, beliau berkata mereka masih dipakaikan gelang pengawasan digital manakala tempoh kuarantin bagi kanak-kanak adalah sama mengikut tempoh ibu bapa atau penjaga yang ada bersama.

Mengulas perkembangan kes klinik mengeluarkan sijil vaksinasi palsu, Khairy berkata kesemua kes yang dikesan membabitkan premis vaksinasi berbayar atau swasta, bukan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Mereka ini didapati membeli vaksin tetapi tidak suntik, sebaliknya mereka buang vaksin tersebut. Polis masih menjalankan siasatan dan KKM akan memberi kerjasama sepenuhnya…

“Kita akan perketatkan SOP supaya kes ini tidak berlaku lagi di luar program kerajaan,” katanya.