Ahli Parlimen Didesak Untuk Segera Mengesahkan RCEP – Yong

Ahli Parlimen Didesak Untuk Segera Mengesahkan RCEP – Yong

0
SHARE
Datuk Yong Teck Lee...

KOTA KINABALU, SABAH – Penyambungan semula sidang parlimen pada bulan September memberi peluang kepada Malaysia untuk mengesahkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Menurut Presiden Parti Progresif Sabah, Datuk Yong Teck Lee, langkah itu dilihat mampu memperoleh keuntungan besar bagi negara dengan menjadi anggota utama blok perdagangan RCEP, yang merupakan blok perdagangan terbesar di dunia.

Pada November 2020, perjanjian RCEP ditandatangani oleh sepuluh negara anggota ASEAN dan lima negara perdagangan besar di rantau Asia Pasifik, iaitu China, Jepun, Korea, Australia dan New Zealand. Setakat ini, China, Jepun dan Thailand serta Singapura telah mengesahkan perjanjian RCEP.

“Menurut peraturan, enam dari sepuluh negara ASEAN dan tiga dari lima negara bukan ASEAN mesti mengesahkan perjanjian RCEP oleh parlimen masing-masing. Ia akan memakan masa enam puluh hari lagi sebelum perjanjian RCEP berkuatkuasa…

“Oleh itu, bagi membolehkan RCEP berkuat kuasa pada 1 Januari 2022, Malaysia atau negara lain harus mengesahkan RCEP selewat-lewatnya akhir Oktober tahun ini.

“Saya harap Ahli Parlimen kita akan mengetepikan politik kepartian dan mengesahkan RCEP sebelum berlakunya politik yang merosakkan pemulihan ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata RCEP akan menurunkan tarif di antara 15 buah negara dan kesannya, perdagangan antara negara-negara RCEP akan meningkat.

“Kenaikan perdagangan sedemikian akan menyebabkan peningkatan aktiviti ekonomi dan memberi galakan tambahan untuk pemulihan ekonomi…

“Kajian terbaru oleh ACCIM (Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia) menunjukkan bahawa RCEP akan meningkatkan keluaran dalam negara kasar hingga 1.7 peratus dalam jangka masa sederhana.

“Eksport disebabkan oleh RCEP diunjurkan akan meningkat 24.4 peratus dalam tempoh yang sama,” jelasnya lagi.

Yong berkata Sabah secara khususnya akan mendapat keuntungan oleh kerana kedudukan negeri yang strategik.

“Ini termasuk perdangangan maritim, penerbangan kargo dan perdagangan antarabangsa secara amnya di antara rakan dagang terbesar kita, iaitu negara-negara China, Jepun dan ASEAN.

“Oleh itu, rakyat mengharapkan Ahli Parlimen kita dengan tekun melaksana tanggungjawab mereka di parlimen dan mengesahkan perjanjian RCEP pada bulan September ini,” tegasnya.