KUALA LUMPUR – Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2018, ada pihak yang sanggup mendakwa bajet itu gagal atas alasan nilai ringgit rendah, kos sara hidup tinggi, dan rasuah berleluasa semata-mata untuk merendah-rendahkan kemampuan kerajaan dan pemimpin sedia ada.
Menurut kenyataan portal berita Bernama, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dipetik berkata dakwaan ini kerap diulangi kononnya menunjukkan kerajaan tidak kompeten, biarpun realitinya kerajaan telah membentangkan bajet terbaik dan paling komprehensif dalam sejarah negara.
“Pertanyaannya, gagal apa jika rakyat masih sejahtera, dan negara masih aman.
“Negara kita tidaklah negara berperang seperti Syria, Congo, dan Eritrea atau tidaklah kebulur seperti negara Mozambique dan Somalia.
“Dalam Indeks Keamanan Global 2017, negara kita berada di tangga 29 daripada 159 negara, lebih aman daripada Korea Selatan, Perancis, Indonesia dan Amerika Syarikat,” katanya menerusi blog sskeruak.blogspot.my.
Sambil menyenaraikan kejayaan Malaysia bagi menafikan tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan, beliau berkata malahan lima universiti tempatan mencatat kecemerlangan apabila tersenarai antara ‘300 terbaik dunia’, manakala pasport Malaysia adalah kelima terkuat di dunia dengan akses bebas-visa ke 155 negara di dunia.
“Sistem pengangkutan awam kita pula adalah ke-11 daripada 138 terbaik di dunia.
“Gagal apa jika di segi pelaburan, dalam tempoh tujuh bulan sahaja dari November 2016 sehingga Mei 2017, pelaburan asing yang dibawa masuk oleh PM (Perdana Menteri) telah mencecah RM366 bilion,” katanya.
Dr Salleh berkata begitu juga dengan pertumbuhan ekonomi negara yang sihat apabila berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2017 berbanding 4.2 peratus bagi tempoh sama pada tahun 2016.
Beliau berkata nilai perdagangan Malaysia antara Januari dan Julai tahun ini juga mencapai RM1.008 trilion, meningkat sebanyak 22.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“PM Najib sendiri akui kerajaan bukan sempurna, tetapi kita bukan sebagai sebuah negara gagal.
“Negara gagal cuma label yang diberikan oleh mereka untuk memburukkan kerajaan. Berbanggalah dengan pencapaian negara sendiri,” katanya.