PUTATAN, SABAH – Dalam hanya sejam, hampir 20 rumah rentung dalam dua kebakaran berasingan di Kampung Dumpil dan Sri Pandan di sini semalam.
Kebakaran di Kampung Dumpil menyaksikan kepanikan seorang ibu berumur 35 tahun nekad terjun ke dalam sungai bersama tujuh orang anaknya berumur dua hingga 16 tahun bagi menyelamatkan diri.
Menurut mangsa, Sahara Ismail, semasa kebakaran 10 malam itu dia sedang tidur dan terjaga untuk membuat susu anak perempuannya yang berusia dua tahun sebelum mendengar jeritan dari jiran.

Melihat api membesar beliau tanpa membuang masa terus mengejutkan kesemua anak lalu mendukung yang terbongsu sebelum terjun ke dalam sungai paras paha.
“Semasa meredah sungai saya dibantu anak sulung mengendali anak-anak yang lain sebelum menerima bantuan penduduk kampung.”
Rumahnya tidak terbakar tapi detik cemas melihat marak api menjilat rumah jiran mengaktif naluri ibunya untuk menyelamatkan isi keluarga.
“Anak-anak saya semua selamat tapi badan kami habis berlumpur meredah air sungai. Nasib baik ketika itu air surut,” katanya.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran itu pada jam 10.20 malam.
“Sepasukan anggota IPD Penampang digerakkan ke lokasi dan pasukan bomba sudah berada di lokasi untuk memadam kebakaran…
“Setakat ini, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lebih kurang 17 ke 20 buah rumah yang musnah terbakar dan api berjaya dikawal jam 12.20 tengah malam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, semua mangsa yang terbabit akan dipindahkan di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Serigai, Putatan.
Tiada mangsa yang terkorban dalam kebakaran berdasarkan maklumat terkini daripada pihak bomba manakala punca sedang disiasat.
Haris menasihati masyarakat agar lebih berhati-hati dalam keadaan cuaca kering sedang dilalui beberapa daerah di negeri ini.
“Jangan cuai hingga berlaku kebakaran sehingga menjejaskan orang lain dan akan menjadi sebab kerugian disaat kita di bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya nanti,” kata beliau.
Terdahulu, pada pukul 1.50 tengah hari pihak bomba dikerah ke Putatan bagi memadam kebakaran pertama di Kampung Sri Pandan.
Menurut Komander Operasi John Radsung tiga buah rumah jenis separuh kekal telah musnah sebelum bomba sempat menghentikan rebak api dengan kekuatan 13 anggota
Katanya api dapat dikawal sekitar jam 2.45 dengan cabaran kawasan perumahan sempit dan kebergantungan hanya kepada pili bomba.
Kesemua mangsa juga dilaporkan selamat.