Maut Menimpa Juruteknik Penyelenggaraan Selepas Kena Hentakan Besi

Maut Menimpa Juruteknik Penyelenggaraan Selepas Kena Hentakan Besi

0
SHARE

KLANG – Seorang juruteknik penyelenggaraan kabel kren maut setelah terkena hentakan sebatang besi pada kepalanya dalam kejadian di Pelabuhan Barat di sini malam tadi.

Memetik laporan Kosmo Online, dalam kejadian pukul 8 malam itu, Muhammad Syamil Sharudin, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa bersama rakannya sedang bekerja pada ketinggian 53 meter.

Katanya, mangsa telah bertugas sebagai juruteknik penyelenggaraan kabel kren sejak tiga tahun lalu.

“Sebatang besi yang sedang diangkat oleh kren telah bergerak ke arah mangsa sebelum menghentak kepala sebelah kiri mangsa.

“Akibat dari hentakan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia dengan dibawa turun menggunakan lif,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

Jelasnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.