Syabu, Senapang Angin, Taji Ayam Sabung Antara Rampasan Serbuan ‘Ladang Dadah’ Lahad...

Syabu, Senapang Angin, Taji Ayam Sabung Antara Rampasan Serbuan ‘Ladang Dadah’ Lahad Datu

0
SHARE
Esscom
Senapang angin buatan sendiri yang dirampas dalam serbuan ( Sumber Foto: Ihsan ESSCOM )

LAHAD DATU, SABAH – Sepasukan khas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah menahan dua lelaki warganegara Indonesia dan merampas 87.53g dadah serta tiga senapang angin buatan sendiri dalam serbuan di Tamaco Plantation, Jalan Jeroco, pada Isnin.

Komander Esscom Datuk Victor Sanjos berkata pasukan khas mereka dengan bantuan polis bantuan Tamaco Plantation melakukan serbuan pada dua kawasan di ladang itu.

Susulan serbuan itu, pasukan itu merampas dadah jenis syabu bernilai RM24,500 dan senapang angin.

Pasukan itu turut merampas 50 butir peluru guli, 10 taji sabung ayam, empat parang dan tiga kapak.

Victor berkata kedua-dua tangkapan di buat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang telah diserahkan kepada IPD Kinabatangan.

Katanya ESSCOM menjamin komitmen dalam mengurangkan Jenayah Rentas Sempadan (JRS).

“ESSCOM juga akan terus memperhebat koordinasi operasi bersama pasukan keselamatan yang lain bagi mengekang dan menangkap individu yang berniat jahat untuk mengganggu serta menggugat keamanan dan keselamatan negara.

“Kita juga turut komited membantu pelbagai Agensi Penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri dalam membanteras elemen JRS seperti aktiviti samun laut dan penyeludupan kontraban dengan mempergiat operasi secara bersepadu di kawasan daratan serta perairan ESSZONE,” katanya dalam sebuah kenyataan.