Ewon Bersama SKM Sampaikan Sumbangan Bakul Makanan Kepada Mangsa Banjir

Ewon Bersama SKM Sampaikan Sumbangan Bakul Makanan Kepada Mangsa Banjir

0
SHARE
Ewon
Ewon menyampaikan bantuan makanan kepada salah seorang penduduk terjejas banjir ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

PENAMPANG, SABAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick bersama agensi-agensi kementeriannya bersama-sama turun padang menyampaikan sumbangan bakul makanan dan minuman kepada penduduk kampung di sini yang terjejas banjir.

Antara agensi yang terlibat dalam program itu ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMA) dan ANGKASA

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SKM itu turut disertai oleh pegawai dari Pusat Khidmat Parlimen Penampang dan sukarelawan.

“Saya melawat beberapa rumah penduduk di kampung ini (Kampung Proper Penampang) dan mereka menyatakan inilah (mengalami) banjir yang paling besar.

“Saya bersimpatI dengan kesulitan yang mereka hadapi dan berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka,” katanya.

Mengenai bekalan elektrik yang terputus akibat banjir, Ewon berkata, bekalan elektrik telah dipulihkan, bagaimanapun tekanan bekalan air paip masih rendah disebabkan stesen loji air Kasigui belum beroperasi kembali.

“Saya lahir di kampung ini dan kampung inilah di Penampang yang sentiasa terkesan banjir apabila hujan lebat. Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu keperluan mereka,” katanya.

Selepas itu, Ewon mengadakan tinjauan di SK St Theresa, Inobong yang terjejas teruk akibat banjir.

Semua kelengkapan sekolah iaitu kerusi, meja, mesin percetakan, buku teks, fail-fail sekolah dan kelengkapan lain di aras bawah musnah sama sekali.

“Saya menghargai sumbangan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan yang mengetuai usaha gotong-royong membersihkan lumpur di sekolah ini bersama-sama dengan pasukan sukarelawan, guru-guru dan anggota Jabatan Bomba,” katanya.

Dalam kunjungan itu, beliau menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Guru Besar sekolah bagi membantu usaha-usaha berkaitan pembersihan sekolah.

“Saya akan mendapatkan laporan terperinci daripada Pejabat Pendidikan Daerah Penampang mengenai penilaian kerosakan akibat banjir bagi sekolah-sekolah di Penampang untuk saya bawa ke mesyuarat Kabinet Jumaat ini.

“Bagi murid-murid yang kehilangan alat tulis, buku kerja, beg, baju dan kasut sekolah, saya telah meminta senarai daripada Guru Besar dan YDP PIBG.

“Saya telah meminta Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat iaitu agensi di bawah KUSKOP untuk membantu para pelajar yang terkesan,” katanya.