KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaporkan 266 KES baharu kelmarin (Selasa), terdapat kenaikan bilangan pesakit sebanyak 82 orang dari jumlah kes baharu kelmarin, manakala sebuah kluster baru di Kalabakan, ‘Kalabakan Selatan’ juga dikenal pasti.
Jurucakap COVID-19 negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster tersebut berpunca daripada tempat kerja yang melibatkan para pekerja Ladang FGV Holdings Kalabakan Selatan.
“Kes indeks merupakan lelaki, 55, yang juga pengurus ladang terbabit disahkan positif COVID-19 hasil saringan bergejala di klinik swasta pada 20 Mei 2021…
“Sebelum 21 kes lagi positif dikesan dalam kalangan kontak rapat, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 22 kes setakat hari ini (Selasa).
“Berdasarkan maklumat awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menziarahi rumah pekerja di kuarters Ladang FGV Holdings Kalabakan Selatan pada Hari Raya Aidilfitri,” katanya di sini, malam tadi.

Tambah beliau, daripada 266 kes positif COVID-19, sebanyak 118 kes berpunca dari saringan kontak rapat, 30 kes dari saringan bergejala, 93 kes dari kluster baharu dan sedia ada serta 25 kes dari lain-lain kategori.
Tiga (3) kes kematian dilaporkan kelmarin iaitu masing-masing daripada daerah Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Penampang.
Sementara itu, sebanyak 26 kompaun melanggar SOP COVID-19 telah dikeluarkan seluruh Sabah.
“Empat (4) orang kerana tidak memakai pelitup muka atau dengan betul, 12 orang kerana gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan, lapan (8) orang kereana merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan dua (2) orang atas lain-lain kesalahan,” jelas Masidi.





