KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat telah menahan dua bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan Kudat, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, semasa sedang melakukan rondaan rutin telah mengesan dua bot tersebut yang cuba meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.
“Kedua-dua bot terbabit bersama 15 kru termasuk tekong berusia lingkungan 30 hingga 42 tahun itu berjaya ditahan di kedudukan lebih kurang 4.6 dan 6.3 batu nautika dari Pulau Straggler.”

“Hasil pemeriksaan keseluruhan menemukan peralatan serta hasil tangkapan ikan pelbagai jenis. Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM 2 juta ringgit termasuk bot dan bekalan diesel,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Bot berserta tahanan seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Kudat untuk siasatan selanjutnya di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.





