GAMMAS Sokong Kepimpinan Hajiji, Seru Henti Politikkan Isu Galian dan Infrastruktur Sabah

GAMMAS Sokong Kepimpinan Hajiji, Seru Henti Politikkan Isu Galian dan Infrastruktur Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sekretariat Gerakan Anak Muda dan Mahasiswa Anak Sabah (GAMMAS) hari ini menyatakan sokongan terbuka terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu perhimpunan aman yang diadakan bagi menyuarakan pendirian mahasiswa dan anak muda di negeri ini terhadap beberapa isu semasa.

Jurucakap GAMMAS, Noridi @ Noraidi Maya berkata, Hajiji telah membuktikan keupayaan sebagai pemimpin berwibawa yang berjaya membawa pelbagai kemajuan dan manfaat langsung kepada rakyat, termasuk golongan mahasiswa.

“Bantuan seperti SENTOSA (RM300), BUDI (RM1,500–RM2,000), SUBFLY (tiket penerbangan), bantuan biasiswa, komputer riba dan pelbagai lagi telah memberi kesan besar kepada pelajar dan anak muda Sabah.

“Kami juga menghargai keberanian beliau menghalang rancangan geng kartel yang cuba memonopoli sumber galian negeri,” katanya.

GAMMAS turut menggesa semua pihak agar tidak lagi memanipulasi isu lesen galian Sabah, terutamanya yang membabitkan individu-individu tertentu seperti kumpulan dikenali sebagai Kartel Albert Tei.

“Biarlah pihak berkuasa seperti SPRM dan Polis menjalankan siasatan tanpa campur tangan atau tekanan politik. Jangan jadikan isu ini sebagai bahan politik murahan,” tegas Noridi.

GAMMAS turut mengemukakan gesaan kepada Kerajaan Persekutuan agar segera melaksanakan Akta Dana Politik bagi mengelakkan ahli politik yang berintegriti daripada terperangkap dalam tuduhan rasuah hanya kerana kekangan mendapatkan sumber kewangan untuk membantu rakyat.

“Ramai rakyat, terutama di kampung, bergantung kepada wakil rakyat mereka ketika menghadapi bencana seperti banjir, kematian atau kebakaran. Tanpa akta ini, sistem sumbangan politik mudah dieksploitasi,” jelas beliau.

Mengulas isu berulang berkaitan bekalan air, elektrik dan jalan raya di Sabah, GAMMAS menyifatkannya sebagai masalah lama yang telah lama wujud dan tidak wajar terus dijadikan alat politik.

“Sebaliknya, rakyat harus bantu kerajaan melaksanakan dasar dan pelan pembangunan yang dirancang, bukan terus mencetus kebencian yang merosakkan keharmonian,” katanya lagi.

Menyentuh kontroversi pelantikan Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah, GAMMAS menyeru mahasiswa dan rakyat Sabah agar menghormati keputusan institusi Istana dan tidak terus menyerang institusi yang menjadi simbol perpaduan negeri.

“Kami minta semua pihak, termasuk mahasiswa UMS, agar ‘move on’ dan jangan lagi mengheret institusi Istana dalam polemik politik,” ujar Noridi.