LABUAN – Perkhidmatan feri roll on-roll off (RORO) dari Labuan ke tanah besar Sabah kembali beroperasi mengikut jadual seperti biasa bermula awal November ini.
Pengarah Jabatan Marin Labuan Alimuddin Amirudin berkata perkhidmatan feri kembali kepada jadual asal selaras dengan langkah kerajaan Sabah menarik balik larangan rentas negeri.
“Susulan kelonggaran sekatan rentas negeri dari Labuan ke Sabah melalui Menumbok, kami bersetuju untuk membenarkan perkhidmatan feri kembali beroperasi seperti biasa bermula bulan ini,” katanya kepada Bernama kelmarin.
Alimuddin berkata terdapat lapan perjalanan ulang-alik Labuan-Menumbok dibenarkan kepada dua pengendali feri iaitu Labuan Mainland Link Sdn Bhd dan Juta Bonus Sdn Bhd.
Labuan Mainland Link mengendalikan tiga feri Kimanis 1, Putrajaya 1 dan Goodwill Star dengan enam perjalanan, manakala feri Galaxy dan Blue Ocean dikendalikan oleh Juta Bonus dengan dua perjalanan setiap hari.
Alimuddin turut mengingatkan pengendali feri supaya sentiasa melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di atas feri masing-masing bagi mengekang kemungkinan penularan COVID-19.
“Penguatkuasaan (SOP) akan dijalankan dengan kerap di atas feri dan terminal terutama ketika cuti umum dan hujung minggu bagi memastikan keselamatan di feri pada tahap tertinggi sebelum memulakan pelayaran,” katanya.
Sabah telah mengeluarkan garis panduan bagi prosuder kemasukan ke negeri itu untuk warganegara Malaysia dan bukan warganegara berkuat kuasa 1 November 2021, susulan pembukaan pelancongan domestik.
Semua warga Malaysia dibenarkan memasuki Sabah bagi lawatan sosial dengan bersyarat, manakala bagi bukan warganegara hanya kategori tertentu dibenarkan masuk ke negeri itu mengikut ketetapan terkini.
Rakyat Malaysia dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan yang ingin masuk ke Sabah dikehendaki menunjukkan bukti ujian COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Ag) dan bagi orang dewasa sudah menerima vaksin penuh, manakala remaja berusia antara 12 dan 18 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID 19.





