KOTA KINABALU: Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, digesa supaya mencermin muka terlebih dahulu sebelum cuba menasihati Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkenaan isu rasuah yang melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.
Gesaan itu dibuat oleh Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, membidas kenyataan Rosman yang mendakwa Hajiji gagal mentadbir negeri dan membiarkan skandal rasuah memburukkan institusi kerajaan.
“Pimpinan UMNO Sabah yang pro kepada Bung Moktar sebenarnya tidak mempunyai kredibiliti langsung untuk bercakap soal rasuah, sedangkan Ketua UMNO Sabah sendiri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, masih berdepan pertuduhan rasuah RM2.8 juta di mahkamah,” kata Zulkarnain dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Hajiji sejak awal pentadbirannya telah menunjukkan komitmen penuh untuk memerangi rasuah, termasuk dengan menubuhkan unit integriti di setiap jabatan kerajaan negeri dan menjalin kerjasama erat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Zulkarnain menegaskan bahawa tindakan pendakwaan terhadap beberapa ADUN GRS adalah bukti bahawa pentadbiran Hajiji dan Kerajaan Perpaduan Sabah bersikap adil dan tidak memilih bulu dalam menangani isu rasuah.
“Mahkamah adalah tempat terbaik untuk menentukan kes ini. Kita harap semua ADUN terlibat akan dibebaskan setelah dibicarakan,” katanya.
Zulkarnain juga mempersoalkan sikap membisu pemimpin UMNO dan WARISAN apabila cubaan kartel perlombongan untuk mendapatkan kelulusan tanah seluas sejuta ekar di Sabah berjaya digagalkan oleh kerajaan negeri.
“Ironinya, tidak ada satu pun kenyataan pujian terhadap Ketua Menteri Sabah atas kejayaan membendung penyelewengan besar-besaran itu,” katanya.
Beliau turut menyindir sikap berdiam diri terhadap pakatan Jontih dan Datuk Albert Tei yang didakwa membolot lesen mineral di Sabah.






