Sabah Berpotensi Perkukuh Sektor Agromakanan

Sabah Berpotensi Perkukuh Sektor Agromakanan

0
SHARE

LAHAD DATU: Sabah berpotensi mengembangkan sektor agromakanan menerusi pertanian, penternakan, akuakultur dan pemprosesan makanan, namun memerlukan tenaga kerja berkemahiran, teknologi bersesuaian serta hubungan kukuh dengan pasaran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sektor itu penting dalam menyokong keterjaminan makanan, menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan masyarakat.

Katanya, pembangunan sektor berkenaan perlu selari dengan hala tuju Sabah Development Corridor (SDC) Blueprint 2.0 yang menekankan pembangunan ekonomi berdaya saing, inklusif dan mampan.

“Hala tuju itu perlu diterjemahkan melalui peningkatan produktiviti, peluasan penyertaan masyarakat dalam kegiatan ekonomi serta pengurusan sumber secara bertanggungjawab”, katanya pada Majlis Pelancaran SEDIA AgroFoodPakar sempena Karnival Agro TVET MADANI Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) 2026, di Dewan Palma KVLD, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk James Ratib.

Katanya, menerusi SEDIA AgroFoodPakar, seramai 80 peserta disasarkan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam lapan bidang pertanian dan agromakanan melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) menggunakan Penilaian Amali (PPA) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Menurutnya, program yang pertama seumpamanya di KVLD itu dilaksanakan dalam tempoh dua hari, berbanding laluan lazim yang boleh mengambil masa sehingga 18 bulan, dengan kos penyertaan ditanggung sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

Beliau berkata, lapan bidang pertanian dan agromakanan ditawarkan merangkumi penyeliaan ladang ruminan, operasi makmal bioteknologi agrikultur, penyeliaan akuakultur air tawar, operasi ladang poltri dan jentera pertanian perladangan, penyeliaan pembinaan landskap, operasi pengeluaran tanaman serta pemprosesan makanan.

Hajiji berkata, kerjasama SEDIA dan KVLD turut merangkumi Program IPR-INTAN Tanaman Halia dengan sokongan Kementerian Ekonomi bagi memperkukuh keupayaan tempatan dan mengembangkan potensi ekonomi agromakanan Sabah.

Katanya, menerusi program itu, seramai 30 peserta daripada kumpulan B40, termasuk pelajar dan ibu bapa, disasarkan menjana pendapatan RM2,000 sebulan seorang.

Setiap peserta akan menerima 1,000 benih halia untuk ditanam di kawasan seluas tiga ekar di KVLD.

“Program berkenaan diharap dapat memberikan pengalaman praktikal dalam penanaman dan pengurusan pertanian, selain membantu peserta membina sumber pendapatan tambahan yang berpotensi dikembangkan.

“Sementara itu, Inisiatif Program Penanaman Pokok Kelapa dilaksanakan di kawasan seluas 10 ekar di KVLD membabitkan 1,000 anak benih kelapa pandan dan tacunan”, katanya.

Hajiji berkata, inisiatif itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara SEDIA dengan institusi latihan pertanian di Sabah, memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi dan amalan pertanian moden, serta meneroka potensi sumber pendapatan alternatif melalui hasil dan produk hiliran kelapa.

“Bertemakan “Seribu Kelapa, Satu Legasi”, inisiatif itu turut menyasarkan pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori “Most Coconut Tree Seedlings Planted in an Event”. Sebanyak 456 anak benih disumbangkan bersama oleh pegawai dan kakitangan SEDIA serta KVLD, manakala selebihnya disediakan oleh SEDIA”, katanya.

Hajiji berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam membangunkan kemahiran serta membuka laluan kepada pekerjaan dan keusahawanan.

Kemahiran bukan sahaja diperoleh melalui pendidikan formal, malah pengalaman kerja, latihan praktikal dan pembelajaran di lapangan turut membina pengetahuan serta kompetensi yang bernilai.

Beliau berharap Karnival Agro TVET MADANI KVLD 2026 menjadi wadah yang mempertemukan institusi latihan, industri, agensi kerajaan dan masyarakat untuk berkongsi ilmu serta meneroka kerjasama, selaras dengan tema “Agro Diperkasa, TVET MADANI Dipacu”.

Katanya, kerjasama SEDIA dan KVLD diharap dapat diteruskan dengan komitmen kukuh bagi memastikan kemahiran diiktiraf dan dimanfaatkan, potensi pertanian diteroka dengan lebih berkesan, serta institusi latihan terus menjadi pemangkin pembangunan bakat dan ekonomi setempat.