NEW YORK, AS – Seorang wanita kehilangan separuh daripada satu telinganya selepas diserang oleh seekor anjing milik bekas teman lelakinya.
Mirror UK melapor, Erin Doherty yang berusia 24 tahun diserang oleh anjing baka German Shepherd pada Julai 2021.
Ketika kejadian, Doherty dikatakan membelai haiwan berkenaan, namun ia tidak berhenti menggeram.
Dia kemudian digigit di tangan serta diterkam di muka yang mengakibatkan dia kehilangan separuh telinganya.
Susulan kejadian itu, wajahnya mereput ketika dia menunggu untuk menjalani pembedahan.
“Bekas teman lelaki saya berlari keluar dari bilik air untuk menarik anjing itu apabila mendengar saya menjerit…
“Anjing itu mula menyerang kembali seolah-olah tidak puas.
“Dia mengurung anjing itu di dalam sebuah bilik dan memanggil ibu bapa dan rakan sebiliknya untuk membawa saya ke hospital,’’ jelas Doherty.
Selepas memasukkan telinga yang putus ke dalam ais, mereka terpaksa memandu selama dua jam ke hospital memandangkan pusat kesihatan tempatan tidak mempunyai pakar bedah plastik.
Telinga wanita itu dikatakan terpisah selama lima hingga enam jam sebelum pembedahan dijalankan untuk mencantumkannya kembali.
Bagaimanapun, warna telinganya mula bertukar kepada hijau dan kuning dalam masa empat hari sebelum menjadi hitam dan membusuk dan terpaksa dibuang dalam satu pembedahan lain.
Akhirnya, dia terpaksa mendapatkan telinga palsu setelah tujuh bulan kemudian.





