KOTA KINABALU, SABAH – Pelanggan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan menerima faedah tahunan ataupun rebat brejumlah 2.5 peratus (2.5%) daripada jumlah deposit elektrik yang dibayar.
Faedah yang diperuntukkan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 itu akan dikreditkan ke dalam bil elektrik para pelanggan bermula pada bulan Januari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, pemulangan rebat berjumlah RM8.7 juta itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna pada bulan Januari dan Februari ini.
“Pemulangan semula rebat tersebut melibatkan sejumlah 609,869 pengguna di seluruh negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan…
“Wang cagaran elektrik ini dikenakan sebagai sekuriti kepada kerosakan atau untuk menjelaskan hutang tertunggak apabila pengguna menamatkan kontrak bekalan dimana ia selaras dengan peraturan 5(5) Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990.
“Ia dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam (6) bulan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan penambahan wang cagaran hanya akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan penggunaan elektrik secara purata bagi 6 bulan berbanding wang cagaran sedia ada.
“Walaubagaimanapun, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat kepada bil elektrik mereka,” jelasnya.





