YBR Sumbang RM180,000 Kepada 33 Buah Sekolah di Kadamaian

YBR Sumbang RM180,000 Kepada 33 Buah Sekolah di Kadamaian

0
SHARE
Ewon ketika bertemu pelajar-pelajar SMK Tambulion

KOTA BELUD: Yayasan Bank Rakyat (YBR) di bawah agensi Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyumbangkan sebanyak RM180,000 bagi tujuan bantuan persekolahan kepada 33 buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri KUSKOP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Katanya, daripada jumlah itu, sekolah menengah menerima RM10,000 setiap sekolah dan RM5,000 untuk setiap sekolah rendah di mana jumlah itu sama seperti bantuan awal persekolahan yang disalurkan pihaknya pada tahun lalu. 

“Ini adalah kesinambungan tanggungjawab saya di kementerian dan sebagai wakil rakyat kawasan ini untuk terus memastikan pendidikan diberi perhatian sewajarnya selain memberi keutamaan kepada pembangunan keusahawanan dan koperasi.

“Selagi saya berada di kementerian, saya akan pastikan YBR akan meneruskan bantuan seperti ini dan batuan-bantuan lain untuk pelajar sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Sekolah-Sekolah DUN Kadamaian dan Bantuan Van Koperasi Sempena Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion, di Dewan Stalion SMK Tambulion, di sini, semalam.

Ewon berkata, bagi menyelesaikan beberapa isu sekolah di kawasan Kota Belud khususnya di Kadamaian, beliau akan membawa Menteri Pendidikan untuk melawat beberapa buah sekolah di sini.

“Saya telah memilih SMK Narinang yang berhadapan dengan isu kesesakan pelajar dan memerlukan penyelesaian jangka masa panjang. Kemudiannya di SK Tamu Darat untuk penaiktarafan bangunan sekolah dan memerlukan penyelesaian kementerian, seterusnya di SRA Rangalau pada hari yang sama.

“Ini adalah penyelesaian dan komitmen saya untuk membawa perkhidmatan terbaik kepada rakyat kawasan ini dan mudah-mudahan dapat membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih besar pada masa akan datang, sesuai dengan Pelan Pembangunan Kadamaian yang telah kita lancarkan dan jadikan sebagai panduan membangunkan Kadamaian,” katanya.

Selain itu katanya, beliau juga akan membawa Menteri Pelancongan Persekutuan dan Menteri Pertanian untuk mencari jalan penyelesaian isu-isu berkaitan pelancongan dan pertanian seperti aspirasi rakyat Kadamaian dalam Pelan Pembangunan Kadamaian.