ECoS Lancarkan OPS KLIK 1.0

ECoS Lancarkan OPS KLIK 1.0

0
SHARE
Ecos
Operasi Pemantauan Bersepadu Kelengkapan Elektrik (OPS KLIK 1.0) yang diketuai oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) bersama SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (cawangan Sabah) telah dijalankan di sembilan buah kedai di sekitar bandar Tawau ( Sumber Foto: Ihsan Ecos )

TAWAU, SABAH – Satu Operasi Pemantauan Bersepadu Kelengkapan Elektrik (OPS KLIK 1.0) yang diketuai oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) bersama SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (cawangan Sabah) telah dijalankan di sembilan buah kedai di sekitar bandar Tawau.

Hasil dapatan daripada OPS KLIK 1.0 mendapati bahawa masih terdapat barangan elektrik yang tidak diiktiraf oleh ECoS-SIRIM atau Suruhanjaya Tenaga (ST)-SIRIM dijual kepada para pengguna.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Pemantauan ECoS, Ts Muhammad Azuan Zainuddin berkata pihaknya berperanan memberikan pendedahan kepada penjual kelengkapan elektrik pengguna mengenai tanggungjawab ECoS dalam mengawal selia aktiviti penjualan kelengkapan elektrik pengguna di Sabah.

Disamping itu, katanya operasi terbabit juga bertujuan untuk memastikan kelengkapan elektrik yang dijual adalah memenuhi kehendak Enakmen Bekalan Elektrik (EBE) 2024 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik (PPBE) 2024.

“Selaras dengan Peraturan 100(1), PPBE 2024, apa-apa kelengkapan elektrik pengguna hendaklah diuji dan disahkan selamat dan diluluskan oleh ECoS,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan untuk para penjual barangan elektrik untuk mematuhi Peraturan 107 dan Peraturan 111(3) di bawah PPBE 2024 yang menyatakan bahawa hanya kelengkapan elektrik pengguna yang telah diluluskan dan dilabelkan dengan Label Keselamatan ECoS-SIRIM dan Label Penarafan Kecekapan Tenaga ECoS boleh dijual kepada para pengguna.

“Namun demikian, ECoS masih membenarkan aktiviti penjualan kelengkapan elektrik pengguna yang mempunyai Label Keselamatan Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST)-SIRIM dan Label Penarafan Kecekapan Tenaga ST di Sabah,” katanya.

“Kegagalan oleh penjual kelengkapan elektrik pengguna untuk mematuhi Peraturan-Peraturan ini boleh mengakibatkan kelengkapan elektrik itu disita dan dilupuskan (atau dialihkan) selaras dengan Peraturan 110(2) dan Peraturan 113(2) di bawah PPBE,” katanya.

Sementara itu, Ts. Ridwan Saham, Ketua Pegawai Operasi ECoS berkata operasi KLIK akan giat dijalankan operasi seterusnya akan melibatkan lebih banyak agensi lain yang berkaitan.

“ECoS akan teruskan komitmen dan tanggungjawab dalam menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan untuk memastikan hanya kelengkapan elektrik pengguna yang selamat dan cekap tenaga dijual di Sabah.” katanya.