TAWAU: Tindakan melulu seorang lelaki yang memandu sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina menggunakan nombor pendaftaran palsu membawa padah apabila dia ditahan polis dalam satu rondaan rutin di sekitar bandar Tawau, pada pagi Rabu.
Suspek warga tempatan berusia 36 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau selepas kenderaan yang dipandunya nyaris melanggar motosikal yang ditunggang anggota polis semasa membelok secara tiba-tiba.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang dipasang pada kenderaan suspek adalah milik sebuah kenderaan jenis Toyota Camry dan bukannya jenis kenderaan yang dipandu suspek.
“Semakan lanjut mendapati nombor enjin dan casis kenderaan tidak sepadan dan suspek dipercayai telah memalsukan nombor pendaftaran tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, suspek yang memiliki 14 rekod saman trafik dan tidak mempunyai lesen memandu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu dan turut merampas kenderaan tersebut.
“Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi, anggota rondaan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau telah mengesan pergerakan mencurigakan kenderaan suspek ketika melakukan rondaan bermotosikal, secara tiba-tiba kenderaan tersebut membelok sehingga hampir melanggar motosikal yang ditunggang anggota berkenaan,” jelasnya.
ACP Jasmin turut menasihatkan orang awam agar tidak terbabit dalam sebarang pengubahsuaian haram ke atas kenderaan mereka termasuk pemalsuan nombor pendaftaran kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba memperdayakan pihak berkuasa. Orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat jika mengesyaki sebarang aktiviti jenayah di kawasan mereka,” tegasnya.






