Marah Suami Kahwin Lain, Isteri Simbah Suami Dengan Asid Dan Sos Cili

Marah Suami Kahwin Lain, Isteri Simbah Suami Dengan Asid Dan Sos Cili

0
SHARE

JAKARTA: Seorang wanita bertindak menyimbah asid dan sos cili terhadap suaminya yang berkahwin dengan wanita lain dalam kejadian di Sumatera Selatan.

Ketua Perhubungan Awam Polis Muba, Susianto mengesahkan penahan terhadap wanita terbabit selepas empat minggu bersembunyi. 

Katanya, kejadian berlaku di kediaman pasangan tersebut di Kampung Babat Toman pada Ahad lalu selepas wanita itu berang kerana mendapati suaminya berkahwin dengan wanita idamannya yang dikenali menerusi media sosial.

“Suri rumah itu menyimbah asid sulfurik dan air sos cili ke badan suaminya.

“Daripada hasil pemeriksaan, suspek mengakui perbuatannya bermula apabila dia ternampak hantaran di laman sosial Facebook tentang gambar suaminya berkahwin dengan wanita lain,” katanya menerusi detikSumbagsel, semalam.

Tambah beliau, susulan kejadian itu, suspek kemudian ditangkap dan ditahan di penjara Babat Toman Muba.

“Suspek rasa dikhianati suaminya sebelum menyerang mangsa dengan bahan berkenaan yang disimpan dalam dua botol minuman mineral terpakai ke arah badan mangsa.

“Akibat kejadian itu, muka mangsa melepuh. Tangan kiri dan kanan, dada dan perut turut melecur.

“Disebabkan tidak menerima apa yang dilakukan isterinya, mangsa kemudian melaporkannya kepada Polis Babat Toman,” katanya.

Jika sabit kesalahan, suspek akan berdepan hukuman penjara 10 tahun kerana keganasan rumah tangga.