Pulau Papan Dan Rusukan Perlu Dinaik Taraf, Berpotensi Jadi Pusat Peranginan Terkemuka

Pulau Papan Dan Rusukan Perlu Dinaik Taraf, Berpotensi Jadi Pusat Peranginan Terkemuka

0
SHARE

LABUAN – Pulau Papan dan Pulau Rusukan Besar perlu dinaik taraf dengan fasiliti yang boleh menarik minat pelancong kerana dilihat berpotensi dimajukan sebagai destinasi peranginan terkemuka, demikian menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

“Dalam lawatan kerja ke kedua-dua pulau hari ini, saya melihat potensi yang ada itu boleh diketengahkan untuk menarik pelancong…

“Namun, kedua-dua pulau harus dinaik taraf dan disediakan fasiliti untuk membolehkan pelancong datang termasuk bermalam,” kata Jalaluddin kepada pemberita di Pulau Rusukan Besar kelmarin.

Beliau berkata potensi pelancongan Pulau Papan yang berkeluasan lapan hektar dan Pulau Rusukan Besar seluas dua hektar akan dibincang dalam mesyuarat jawatankuasa pembangunan ekonomi Kementerian Wilayah Persekutuan untuk diberi perhatian sewajarnya.

Jalaluddin berkata Pulau Rusukan Besar yang sedang diusahakan oleh operator pelancongan swasta perlu dibantu Perbadanan Labuan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) supaya dapat menembusi pasaran pelancongan domestik dan antarabangsa.

“Begitu juga dengan Pulau Papan yang sudah tersedia fasiliti penginapan (chalet) yang masih boleh diperbaiki dan dinaik taraf…

“Kita akan memikirkan bagaimana Pulau Papan ini dapat diusahakan oleh operator swasta dengan kerjasama MOTAC dan Perbadanan Labuan,” katanya.