Kemenangan BN Di PRN Melaka Petunjuk Rakyat Mahukan Kestabilan Politik Negara –...

Kemenangan BN Di PRN Melaka Petunjuk Rakyat Mahukan Kestabilan Politik Negara – Bung

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka petunjuk yang jelas bahawa rakyat mahukan kestabilan politik di negara ini.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata kemenangan itu juga memberikan petunjuk bahawa kesetiaan serta kepercayaan rakyat kepada BN masih utuh.

“Setakat ini sudah dua PRN kita lalui, Sabah dan Melaka, dimana kita berhadapan dengan pelbagai presepsi, tomahan dan fitnah…

“Malah sebelum ini ada pihak yang melabelkan parti BN atau UMNO sudah terkubur. Namun hakikatnya hasil daripada dua PRN ini rakyat masih setia bersama BN yang selama ini terbukti berupaya mengurus kestabilan politik negara,” katanya mengulas kejayaan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Melaka baru-baru ini.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, kejayaan itu juga membuktikan konsep kerja berpasukan dari semua jentera parti merupakan faktor utama yang mendorong kepada kemenangan.

“UMNO BN adalah sebuah parti yang mempunyai struktur yang lengkap justeru kalau semua ini berfungsi dan digerakkan sudah pasti kejayaan dapat dicapai,” katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada semua calon BN dan seluruh jentera, Bung berharap kejayaan ini tidak mengalpakan pemimpin parti dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan untuk terus berkhidmat membela rakyat.

Ketika ditanya wartawan mengenai prestasi calon muda yang ditampilkan oleh BN, Bung berkata parti telah melakukan proses peremajaan parti dan ia menempatkan kejayaan.

“Justeru itu, mereka yang terpilih perlu memikul tugas yang diamanahkan dan sentiasa berusaha memantapkan kepimpinan diri bagi menghadapi cabaran semasa…

“Pada PRN kali ini BN dicabar untuk bergerak sendirian dan hasilnya memberikan keyakinan kepada BN untuk bergerak sendiri pada Pilihan Raya Umum akan datang,” jelas Bung.