Pusat Biodiversiti Sabah Lancar SaBIIS, iSaBIIS

Pusat Biodiversiti Sabah Lancar SaBIIS, iSaBIIS

0
SHARE
Safar
Safar (dua dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran sama diperhatikan Gerald (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pusat Biodiversiti Sabah melancarkan Sabah Biodiversity Integrated Information System (SaBIIS) dan iSaBIIS.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, sistem berkenaan merupakan pangkalan data berkaitan sumber biologi Sabah bertujuan untuk menyimpan dan menyediakan data biodiversiti yang tepat serta boleh diguna pakai dalam penyediaan polisi pembangunan mampan.

“Saya difahamkan, aplikasi ini ditambah baik dengan adanya iSaBIIS iaitu satu aplikasi mudah alih citizen science yang melibatkan pengumpulan data flora dan fauna melalui penglibatan orang awam.

“Dengan penambahbaikan ini, saya yakin penglibatan masyarakat daripada pelbagai lapisan dan latar belakang akan terus mendapat sambutan baik dalam usaha pengumpulan data-data seterusnya pemantauan serta pemuliharaan alam sekitar negeri ini.

“Saya percaya data yang diperolehi di dalam sistem ini dapat menyumbang kepada proses pembuatan keputusan yang melibatkan projek-projek pembangunan infrastruktur, pencegahan banjir, serta sektor-sektor ekonomi yang lain.

“Saya berharap analisis data-data yang diperoleh daripada setiap organisasi yang terlibat dan sumbangan orang awam ini dapat dihasilkan dan digunakan sebagai fakta saintifik untuk cadangan projek-projek di masa hadapan,” katanya ketika berucap semasa Majlis Pelancaran SaBIIS dan iSaBIIS di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Safar turut mengucapkan tahniah kepada Pusat Biodiversiti Sabah kerana telah menghasilkan Pelan Strategik 2022 – 2032.

“Saya yakin pelan ini akan dapat menjadi rujukan dan panduan untuk pembangunan dan pemuliharaan biodiversiti di Sabah dalam tempoh 10 tahun yang akan datang.

“Saya juga yakin Pusat Biodiversiti Sabah akan sentiasa komited dan bermotivasi dalam usaha untuk menambah baik kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui inisiatif-inisiatif dan sasaran yang ditetapkan di Pelan Strategik ini,” tambahnya.

Dalam majlis yang sama juga diadakan sesi menandatangani Persetujuan Perkongsian Data di antara Pusat Biodiversiti Sabah dan pembekal-pembekal data yang terdiri daripada Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Pertanian Sabah, Muzium Sabah dan WWF-Malaysia.

Turut berlangsung, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Pusat Biodiversiti Sabah dan Yayasan PETRONAS yang akan berkolaborasi selama lima tahun dalam inisiatif pemeliharaan rumput laut di melalui Program Pemetaan Rumput Laut dan Aktiviti Kemasyarakatan.

Hadir sama, Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah, Dr. Gerald Jetony, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Ahamed Sade, Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Robert Stidi, Ketua Pemuliharaan Sabah, WWF-Malaysia, Dr. Robecca Jumin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis. — JABATAN PENERANGAN SABAH