Penduduk Sekampung ‘Bertetak’ Gara-Gara Jambatan

Penduduk Sekampung ‘Bertetak’ Gara-Gara Jambatan

0
SHARE
Mangsa yang cedera diusung selepas pergaduhan itu...

TAWAU, SABAH – Pertempuran berdarah menggunakan senjata kayu dan parang di antara beberapa penduduk Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, semalam, semuanya gara-gara pembinaan sebatang jambatan.

Kampung terbabit yang dilanda musibah kebakaran pada Khamis lalu sekali lagi menjadi ‘viral’ di media sosial pagi tadi dengan rakaman insiden serta gambar mangsa-mangsa yang tercedera.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham diantara kalangan penduduk kampung mengenai pembaikanpulihan sebuah jambatan yang telah musnah terbakar.

Diantara mangsa yang cedera akibat pergaduhan…

Menurutnya, enam suspek lelaki terdiri daripada empat warga tempatan dan dua warga asing berusia 20 hingga 70 tahun telah ditangkap di beberapa lokasi di sekitar daerah hari ini bagi membantu siasatan.

“Semua tangkapan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau untuk mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan suspek dan senjata yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata terdapat enam lelaki yang cedera dalam rusuhan semalam mendapat rawatan di hospital.

Sementara itu, Jasmin berkata, mengesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan polis.

“Masyarakat juga dinasihati untuk tidak sesekali menularkan maklumat-maklumat yang tidak sahih kepada umum,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang mempertuntukan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.