KOTA KINABALU, SABAH – Anggota Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggesa agar pembangunan modal insan di negeri ini dapat diperkukuhkan melalui pelbagai usaha, khususnya pendidikan dan kesihatan.
Beliau berkata, ini selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan modal insan yang berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang kian berubah.
Selain itu, Salleh berkata ia penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan Pelan Sabah Maju Jaya, terutama daripada segi tahap kesediaan dan kebolehan tenaga pekerja.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata terdapat keperluan untuk memberi keutamaan mendidik tenaga pekerja dan juga generasi masa depan mengenai jenis pekerjaan baru yang mempunyai permintaan tinggi.
Ini termasuk bidang pembangunan perisian dan teknologi maklumat, pemasaran digital, kewangan, pengurus projek, eksekutif jualan dan perniagaan, pengamal perubatan profesional, pendidik dan eksekutif khidmat pelanggan, katanya.
“Oleh itu, kita perlu ambil pendekatan menyeluruh dan tumpukan perhatian kepada jenis pendidikan yang meningkatkan kemahiran masyarakat kita, sekali gus menguasai jenis pekerjaan dan juga teknologi baru yang lebih bersifat digital dan automasi,” katanya.
Salleh berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Isnin.
Beliau berkata peranan kerajaan merupakan kunci untuk mengembangkan kemahiran dan tahap pendidikan masyarakan.
“Sesetengah kerajaan terlibat secara aktif dalam meningkatkan modal insan dengan menawarkan pendidikan tinggi kepada rakyat tanpa sebarang kos…
“Kerajaan-kerajaan ini menyedari bahawa pengetahuan yang diperoleh orang melalui pendidikan membantu membangunkan ekonomi dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
Pekerja yang mempunyai lebih pendidikan atau kemahiran yang lebih baik cenderung untuk memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, yang seterusnya, meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan pengguna tambahan,” katanya.
Mengenai kesihatan, Salleh berharap bilangan kes akan terus menurun dan keadaan berubah lebih stabil apabila negeri ini memasuki fasa endemik wabak Covid-19 tidak lama lagi.
“Selain dari diri membiasakan dengan norma baharu, kita mempunyai peluang emas untuk mengkaji semula peranan Kesihatan dalam masa depan pasca-pandemik.
“Jika kita menjadikan Kesihatan satu keutamaan, ini akan membolehkan kita meningkatkan kedayatahanan, mengurangkan jurang kesihatan, dan meningkatkan keadaan ekonomi dan sosial,” katanya.
Bagi mencapai tujuan itu, Salleh mencadangkan beberapa pendekatan yang perlu diberi perhatian.
Dalam hal ini, beliau mengesyorkan agar kerajaan memastikan kesihatan menjadi sebahagian daripada perbincangan pertumbuhan ekonomi.
Salleh turut mencadangkan agar kerajaan mengambil pendekatan bersepadu untuk menambahbaik aspek kesihatan.
“Agenda kesihatan yang paling berkesan ialah mengimbangi kesihatan persekitaran, sosial dan tingkah laku serta penjagaan pencegahan di samping keperluan rawatan,” katanya.
Salleh turut menekankan pentingnya menggandakan inovasi.
“Bagi ekonomi yang sedang pesat membangun, inovasi dalam penyampaian penjagaan kesihatan akan diperlukan untuk membawa campur tangan ini pada kos yang rendah kepada orang yang tidak memilikinya hari ini.
“Ini bermakna model pendanaan dan perolehan baharu, perkongsian dan kerjasama yang lebih luas, dan set keutamaan bersama yang lebih luas,” katanya.