CYBERJAYA, SELANGOR – Dunia hiburan Malaysia dikejutkan dengan gabungan luar biasa antara dua bakat dari generasi berbeza, Achey dan Tantari, dalam lagu terbaru mereka berjudul “Biar.”
Memetik sumbet Suara TV, dilancarkan pada 30 Ogos lalu, lagu ini tidak mengambil masa lama untuk menjadi bualan ramai, mencapai Top 30 Trending di YouTube dengan lebih daripada 60,000 tontonan dalam masa hanya tiga hari.
Gabungan Achey, seorang artis versatil yang dikenali dengan pelbagai bakat, dan Tantari, penyanyi kanak-kanak yang mencipta fenomena sejak tahun lepas, dilihat sebagai satu langkah berani yang menghasilkan karya muzik yang mendalam.
Lagu “Biar” membawa mesej mendalam mengenai ketidaksempurnaan dalam kehidupan dan hubungan, dengan Achey menyampaikan lirik yang penuh emosi, manakala Tantari memberikan nafas segar dengan suaranya yang unik.
Achey, yang sudah tidak asing lagi dalam industri hiburan dengan pelbagai pencapaian termasuk lagu-lagu hit seperti “Sakit” dan “Yang Terindah,” turut mempamerkan kebolehannya sebagai seorang penulis lagu.
“Biar” adalah hasil ciptaan beliau sepenuhnya, dan mengisahkan seorang lelaki yang cuba mencari kesempurnaan dalam hubungan, tetapi akhirnya menyedari bahawa kekurangan adalah sebahagian daripada kehidupan.
Kolaborasi ini juga menjadi bukti kebolehan Tantari yang semakin mendapat tempat dalam industri.
Walaupun baru berusia tujuh tahun, Tantari menunjukkan kematangan dalam persembahannya, menjadikan beliau sebagai salah satu artis muda yang paling dinantikan perkembangan kerjayanya.
Bercakap mengenai pengalaman berkolaborasi dengan Achey, Tantari mengakui bahawa peluang ini adalah satu penghormatan besar, terutama apabila dapat bekerja bersama idola ramai.
“Kami berdua datang dari latar belakang yang berbeza, tetapi apa yang penting adalah mesej yang kami sampaikan melalui lagu ini,” kata Tantari
“Lagu ini bukan sekadar mengenai cinta atau perpisahan, tetapi juga mengenai penerimaan diri sendiri dan orang lain dengan segala kekurangan yang ada,” kata Achey mengenai kolaborasi tersebut.
Lagu “Biar” yang memaparkan tema perpisahan dan ketabahan ini, telah berjaya menyentuh hati pendengar. Vokal Achey yang penuh emosi dan persembahan Tantari yang segar memberikan dimensi baru kepada lagu ini.