Program Pencegahan Penyakit Berjangkit ‘Little Medic’, Tingkat Literasi Kesihatan Murid Sekolah

Program Pencegahan Penyakit Berjangkit ‘Little Medic’, Tingkat Literasi Kesihatan Murid Sekolah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) melaksanakan Program Pencegahan Penyakit Berjangkit “Little Medic” bagi meningkatkan literasi kesihatan dalam kalangan murid sekolah rendah, di samping memberi pendedahan awal terhadap bidang perubatan dan sains kesihatan.

Menurut Penyelaras program, Ts. Dr. Sylvia Daim, program berkenaan merupakan platform pembelajaran berasaskan komuniti yang membolehkan mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam menyampaikan pendidikan kesihatan kepada masyarakat.

Menurut beliau, modul “Little Medic” dibangunkan sebagai projek kemuncak pelajar Tahun Satu Program Doktor Perubatan menerusi kursus MM10506 Agen Penyakit, sebelum kurikulum baharu program perubatan diperkenalkan pada September depan.

“Program ini menggunakan pendekatan interaktif yang bersesuaian dengan tahap pembelajaran murid bagi meningkatkan kefahaman mereka mengenai penyakit berjangkit yang sering berlaku dalam kehidupan harian serta langkah pencegahannya.

Kandungan modul memberi tumpuan kepada penyakit seperti influenza, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), demam denggi, keracunan makanan serta konjunktivitis yang lazim berlaku dalam persekitaran sekolah dan iklim tropika Sabah.

“Selain meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan, program ini turut memberi pendedahan awal kepada murid terhadap bidang perubatan dan sains kesihatan sebagai usaha menyemai minat mereka untuk menceburi kerjaya dalam sektor berkenaan pada masa hadapan,” katanya.

Tambah Sylvia, kerjasama Pusat Khidmat ADUN Likas yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri Likas, Tham Yun Fook, membantu menyelaras pelaksanaan program melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah serta sekolah-sekolah yang terlibat.

Sementara itu, menurut Tham, pendedahan mengenai amalan pencegahan penyakit sejak di bangku sekolah penting dalam membentuk generasi yang lebih peka terhadap aspek kesihatan.

“Murid yang mengikuti program ini diharap dapat berkongsi pengetahuan yang diperoleh bersama keluarga dan rakan-rakan, sekali gus membantu menyebarkan amalan hidup sihat dalam komuniti.

“Pihak kami akan terus memberikan sokongan penuh dalam pelaksanaan program berorientasikan komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi,” ujarnya.

Program tersebut turut memberi peluang kepada mahasiswa Program Doktor Perubatan UMS mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam suasana sebenar, selaras dengan matlamat SULAM untuk menghubungkan pembelajaran akademik dengan keperluan masyarakat.

Program tersebut dilaksanakan di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Program yang berlangsung tiga hari bermula 24 hingga 26 Jun itu melibatkan empat buah Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), iaitu SJK(C) St Peter Telipok, SJK(C) Good Shepherd Menggatal, SJK(C) Yick Nam Inanam dan SJK(C) Lok Yuk Likas, dengan penyertaan murid Tahun Enam.