AMERIKA SYARIKAT – Pentagon mengesahkan dua tentera Amerika Syarikat (AS) yang terbunuh dalam pertempuran di utara Iraq bukan angkara Daish.
Menurut jurucakap Pentagon yang dipetik daripada sumber Harian Metro, sebaliknya mereka maut akibat ‘kemalangan yang tidak disengajakan’ dalam kejadian kelmarin.
Kejadian berkenaan juga melibatkan kecederaan lima anggota tentera AS yang lain.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, mereka yang terbunuh ialah Sarjan Allen Stigler Jr, 22, dari Arlington, Texas, dan Sarjan Roshain E Brooks, 30, dari Brooklyn, New York.
Kedua-dua mereka dari pasukan elit 82 Divisyen Para.
Tentera darat AS masih menyiasat insiden berkenaan.
“Seksyen artileri sedang membalas serangan mortar Daish sebelum ‘kemalangan’ berkenaan terjadi mengakibatkan tujuh anggota tentera cedera,” menurut jurucakap Pentagon Kolonel Robert Manning.
Bagaimanapun Pentagon enggan mengulas lanjut mengenai kejadian terbabit dan tidak jelas apakah yang dimaksudkan ‘kemalangan yang tidak disengajakan’ itu.