SANDAKAN, SABAH – Seramai 156 orang pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Nunuyan Laut teruja menerima bantuan alat persekolahan yang disampaikan oleh Ketua Polis Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP) Abdul Fuad Abdul Malek sewaktu Program ‘First Day At School’, semalam.
Program anjuran bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sandakan dan pihak sekolah tersebut diadakan bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menghadapi sesi persekolahan pada tahun ini.
Penyerahan bantuan berbentuk beg, buku, dan alat tulis kepada para pelajar turut disaksikan oleh Guru Besar SK Nunuyan Laut, Mohd Busrah Nordin.
Menurut Busrah, program yang diadakan bersempena dengan Hari Polis dan pembukaan sesi persekolahan itu julung kali diadakan sepanjang tempoh beliau berkhidmat di sekolah terbabit.
“Selama saya menjadi guru besar hampir 23 tahun ini adalah kali pertama program seumpama ini diadakan. Ini sangat menggembirakan kami.
“Bukan sahaja kami, malah anak murid kami pun gembira menerima sumbangan ini”, ujar beliau ketika ditemui media di sini, semalam.
Tambahnya lagi, berdasarkan situasi harga barang yang semakin meningkat, bantuan yang disalurkan kepada pelajar di sekolah tersebut menurut beliau amat signifikan terutama bagi mereka yang datang daripada keluarga B40.
“Mereka (pelajar) sangat teruja. Kalau kita lihat keadaan, perkembangan sekarang ini semua barang naik. Jadi, kebanyakan murid kita di sini adalah golongan B40.
“Jadi sudah tentu perbelanjaan mereka meningkat. Jadi dengan adanya bantuan seperti ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang mereka tanggung sejak barang-barang sekarang naik (harga),” Busrah menambah.
Terdahulu, seramai 20 orang anggota PDRM Sandakan bersama wakil penyumbang bantuan persekolahan daripada KK Auto Dealer terlibat bersama warga SK Nunuyan Laut, Sandakan di dalam Program ‘First Day At School’ pada Selasa.