JAKARTA, INDONESIA – Telefon seorang wanita di Indonesia tiba-tiba dicuri seekor monyet apabila beliau sedang leka membuat konten untuk sosial media.
Memetik laporan berita Suara.com, kejadian itu turut dirakam secara tidak sengaja semasa wanita itu sedang leka membuat kandungan media sosial.
Video itu juga telah tular di media sosial dan telah dimuat naik di akaun Instagram bernama @memomedsos.
Dalam video tersebut, wanita bertindak meletakkan telefonnya di atas lantai lalu berjalan menuju ke hadapan.
Ketika berdiri bersama rakan-rakannya untuk mencipta kandungan media sosial, tiba-tiba salah seorang rakannya menjerit. Rakaman video kemudian menunjukkan langit yang berwarna biru pada waktu itu…
Rupa-rupanya, seekor monyet yang berada di kawasan itu telah mengambil telefon milik wanita itu. Kaki dan badan monyet itu dapat dilihat apabila ia berlari membawanya.
Wanita itu berlari mengejar haiwan berkenaan sambil menjerit panik. Setelah mendapatkan telefonnya kembali, wanita itu berlari ketakutan menjauhi monyet berkenaan.
“Monyet itu mengambil telefon pelawat di hutan Bakau Langsa, Aceh ketika dia ingin membuat content,’’ demikian kapsyen pada video tersebut.
Muat naik itu tular dan mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Mungkin ia cemburu tidak diajak masuk dalam rakaman video,’’ tulis seorang netizen.
“Nasib baik dapat balik telefon itu,’’ komen netizen lain.