KOTA KINABALU, SABAH – Demi melihat anak perempuan menghadiri majlis pengumuman keputusan STPM, seorang bapa, Jaliusih Madakol yang bekerja sebagai penoreh getah sanggup meminjam wang sebanyak RM120 bagi membayar tambang teksi dari Kiulu ke Kota Kinabalu.
Memetik sumber New Straits Times, Jaliusih menganggap pengorbanannya berbaloi berikutan anaknya, Arnie Jaliusih, 20 memperoleh purata mata gred kumulatif (CGPA) 4.0 dalam keputusannya.
Arnie, seorang pelajar SMK Tun Fuad Stephens, adalah antara 75 pelajar yang dipuji Timbalan Pengarah Pendidikan (Perancangan dan Pengurusan Sektor PPD) Sabah Mohd Zaini Yanin di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu.
Jaliusih berkata, dia melakukan bermacam-macam cara untuk memastikan Arnie, dirinya dan isteri dapat hadir meraikan kejayaan ini untuk keluarga.
“Saya hanya ada motosikal dan Proton Saga yang selalu rosak. Kereta saya dari era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada 1990-an.
“Paling jauh yang boleh dilalui ialah sehingga ke pekan Tamparuli, kira-kira 30 minit dari rumah kami,” katanya sambil menambah bahawa mereka terpaksa menyewa teksi dari rumah mereka ke tempat lokasi.
Jaliusih yang berasal dari Sinansag Kiulu di Tamparuli ini memperoleh pendapatan antara RM200 dan RM300 sebulan. Tambang teksi pergi balik berharga RM120.
“Saya tiada pilihan lain selain meminjam wang daripada beberapa orang kampung semata-mata untuk memastikan kami berjaya sampai ke sini. Ia adalah satu detik yang menggembirakan.
“Tetapi apabila Arnie melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, memandangkan dia bercita-cita menjadi seorang guru, kami sekeluarga perlu mendapatkan sokongan kewangan daripada saudara-mara yang lain,” katanya.
Arnie, anak ketiga daripada lima beradik, merupakan pelajar tunggal SMK Tun Fuad Stephens yang mendapat 4.0 dalam peperiksaan STPM. Kolej Tingkatan 6 Tawau mencatatkan bilangan pelajar cemerlang dalam peperiksaan tertinggi iaitu seramai lapan orang.
Di Sabah, 7,618 calon mendaftar untuk peperiksaan STPM tiga semester tahun lepas, tetapi hanya 7,001 yang mendudukinya.






