Persatuan CAP Gesa Sabah Hentikan Permit Buru Buaya

Persatuan CAP Gesa Sabah Hentikan Permit Buru Buaya

0
SHARE

KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew serta Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk menghentikan permit memburu buaya sepanjang tahun di negeri ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, menyuarakan kebimbangan pihaknya terhadap pengeluaran permit tersebut, lapor IloveBorneo.

Menurut beliau, apa yang lebih perlu diutamakan adalah penyelidikan bagi mengawal populasi buaya dan menguruskan konflik manusia-buaya dengan lebih berkesan.

“Tumpuan perlu diberikan kepada mempromosikan pendidikan dan bukannya pembasmian,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau mengulas laporan berita tempatan pada Mei tahun ini yang menyatakan JHL Sabah telah membuka permohonan lesen untuk memburu buaya sepanjang tahun dalam usaha mengimbangi populasi hidupan liar itu di negeri berkenaan.

Dalam laporan tersebut, Christina menyatakan bahawa maklum balas yang diterima JHL Sabah berhubung permohonan lesen itu masih pada tahap minimum.

“Pemburuan buaya dilihat sebagai satu cara untuk mengurangkan konflik manusia-buaya, selain mewujudkan industri berasaskan hidupan liar itu.

“Saya berharap pendekatan ini bukan saja mengurangkan konflik (manusia-buaya) tetapi juga membuka pintu kepada peluang baharu seperti pelancongan dan pengeluaran barangan mewah, sekali gus dapat mengukuhkan ekonomi tempatan,” kata Christina.