Wanita Maut Terhempas, Ditolak ‘Boyfriend’ Positif Dadah Dari Tingkat 23 Kondominium

Wanita Maut Terhempas, Ditolak ‘Boyfriend’ Positif Dadah Dari Tingkat 23 Kondominium

0
SHARE
Wanita maut terhempas, ditolak kekasih positif dadah dari tingkat 23 kondo

SHAH ALAM: Seorang wanita maut akibat terhempas di lantai selepas dipercayai ditolak oleh kekasihnya yang positif dadah dari tingkat 23 di salah sebuah kondominium di sini pada Rabu lalu.

Susulan itu, polis telah pun menahan seorang lelaki (suspek), 37 tahun yang juga merupakan seorang pemandu lori di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada sekitar jam 10.02 malam.

“Menurut saksi, dia terdengar pergaduhan antara mangsa dan suspek serta melihat mangsa ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh di kondominium tersebut. 

“Tangkapan telah dibuat ke atas suspek di tempat kejadian pada Rabu jam 10.10 malam,” katanya.

Menurutnya lagi, mangsa yang maut adalah wanita warga Thailand berusia 32 tahun yang tidak memiliki pekerjaan. Manakala saringan air kencing yang dibuat pada suspek mendapati positif dadah jenis Canabis selain suspek memiliki tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah. 

Suspek telah pun direman pada Khamis lalu di Mahkamah Shah Alam dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau pemenjaraan bagi satu tempoh yang tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Terdahulu, seorang penghuni apartment itu memuat naik video pergaduhan antara pasangan berkenaan sehingga ia tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman itu, jelas kelihatan seorang wanita jatuh dari tingkat 23 sebelum disusuli bunyi kuat akibat terhempas di atas lantai.

Ramai netizen meluahkan rasa simpati terhadap mangsa dan berharap pelaku dikenakan hukuman setimpal.