Kemalangan Maut: Ibu Tidak Sempat Jumpa Anak, Suami

Kemalangan Maut: Ibu Tidak Sempat Jumpa Anak, Suami

0
SHARE
Foto milik IPD Kota Kinabalu...

KOTA KINABALU, SABAH – Hati Jeanilee Escobar Assam, 46, hancur menerima berita pemergian mengejut suami dan dua orang anak sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pagi tadi.

Beliau yang sepatutnya disambut keluarganya itu sebaliknya menziarahi jenazah mereka di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE1) sebaik tiba pada jam 3.28 pagi…

Difahamkan Jeanilee, yang berangkat ke Manila atas urusan kerja, sebelum ini dijadualkan tiba pada jam 12.50 di KKIA namun penerbangannya tertunda dan hanya menaiki pesawat dari Manila ke Kota Kinabalu jam 1.38 pagi.

Maut menimpa mangsa yang dikenal pasti sebagai Jimmykal Jaujali Assam, 44, dan dua anaknya Sazfa, 11 dan Alkail, 16 dalam kejadian jam 11.24 malam di Jalan Lintas, sini.

Kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dipandu mangsa dewasa terbabit hilang kawalan lalu terbabas sendiri sebelum merempuh salah satu tiang jejambat berkenaan.

Seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun, yang merupakan anak buah mangsa, tercampak keluar daripada kenderaan tersebut dan kini dirawat di HQE1 untuk kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat permukaan jalan yang licin akibat hujan.

“Pemandu tidak disyaki mabuk, namun, sampel darah mangsa akan diambil semasa proses bedah siasat untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam sebuah kenyataan media.