BEAUFORT, SABAH – Wakil Rakyat Lumadan, Haji Ruslan Muharam mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia agar rumah kuarters guru yang dibina turut dilengkapi ciri-ciri keselamatan serta mempunyai dua pintu.
Beliau berkata demikian semasa sesi perbincangan yang diadakan sempena lawatan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia II, Datuk Mohammad Alamin ke Sekolah Menengah Kebangsaan Weston, di sini Sabtu lalu.
Tujuan lawatan diadakan ialah bagi meninjau keadaan kuaters guru yang terbakar yang telah mengorbankan seorang guru wanita yang juga seorang Ketua Penolong Kanan sekolah tersebut.

Dalam lawatan berkenaan, Ruslan dan Mohamad telah dimaklumkan bahawa rumah guru yang dibina sejak puluhan tahun lalu hanya mempunyai satu pintu saja.
Menurut guru-guru yang tinggal di kawasan yang sama, pada hari kejadian, bekalan elektrik terputus dan mereka menggunakan lilin yang mengundang berlakunya tragedi kebakaran berkenaan.
Ruslan menghargai inisiatif yang dibuat oleh Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan menggunakan dana kecemasan bagi membaiki kuaters guru di SMK Weston.
Turut hadir ialah pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Lai Halimah Ismail; Pengetua SMK Weston, Ag. Besar Suran serta pemimpin-pemimpin masyarakat bagi kawasan Lumadan.
Setelah membuat tinjauan ke lokasi sekolah, Ruslan melawat pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di situ.