Sembulan Diperbaharui, DBKK Mula Operasi Roboh Struktur Tanpa Kelulusan

Sembulan Diperbaharui, DBKK Mula Operasi Roboh Struktur Tanpa Kelulusan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memulakan operasi pengosongan dan perobohan struktur tanpa kelulusan di kawasan Sembulan bermula awal Januari 2026 sebagai sebahagian daripada usaha pembaharuan bandar dan penambahbaikan kualiti persekitaran.

DBKK memaklumkan, tindakan itu melibatkan struktur yang dibina tanpa kelulusan, bangunan usang dan tidak selamat didiami serta premis yang telah luput tempoh pajakan, hasil pemeriksaan dan pemantauan berterusan pihak bandar raya.

Menurut DBKK, kawasan terlibat dikenal pasti mempunyai penempatan tidak teratur yang melanggar undang-undang kecil, selain berada dalam keadaan kotor dan berisiko kepada keselamatan serta kesihatan awam, termasuk dikenal pasti sebagai antara kawasan dengan kadar penularan wabak denggi tertinggi di Kota Kinabalu.

“Hasil bancian dan pemeriksaan teknikal mendapati terdapat struktur sementara dan kekal yang tidak mematuhi piawaian keselamatan, perancangan dan kebersihan, sekali gus menjejaskan imej bandar raya serta meningkatkan risiko kebakaran dan pencemaran alam sekitar,” menurut kenyataan itu.

Bancian turut merekodkan seramai 159 ketua isi rumah bukan warganegara menyewa di kawasan berkenaan, dengan majoritinya pemegang dokumen perjalanan tidak sah, selain DBKK menerima pelbagai rungutan penduduk Kampung Sembulan berkaitan isu keselamatan dan kebersihan.

DBKK menjelaskan, tindakan penguatkuasaan ini merupakan sebahagian daripada Projek Pembaharuan Bandar Sembulan yang bertujuan mewujudkan kawasan yang lebih moden, teratur, bersih dan berdaya huni, selain meningkatkan keselamatan serta kesejahteraan penduduk.

DBKK menegaskan kegagalan mematuhi notis pengosongan dan perobohan yang telah dikeluarkan akan mengakibatkan tindakan tegas termasuk kompaun, pendakwaan, sitaan dan perobohan serta-merta, dengan operasi dilaksanakan secara berperingkat dan berhemah bersama agensi berkaitan bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.