DORTMUND – England bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Belanda 2-1 di peringkat separuh akhir EURO 2024 di Signal Iduna Park, Dortmund malam tadi.
Gol minit akhir penyerang England, Ollie Watkins ketika menentang Belanda itu telah membantu membawa pasukannya ke final Euro 2024.
Watkins yang juga penyerang Aston Villa itu di masuk pada peringkat akhir di Dortmund dan secara klinikal meledak gol penentu kemenangan 2-1 England.
Watkins dibantu oleh pemain simpanan, Cole Palmer dari Chelsea, yang juga masuk bersamanya pada minit ke-81.
“Saya katakan kepada Cole bahawa kami akan masuk padang dan dia akan membantu saya menjaringkan gol.
“Ia berlaku, sebaik sahaja dia berpusing, saya tahu saya perlu bertindak. Anda tidak selalu mendapat peluang begitu jadi saya perlu segera mengambilnya.
“Selepas melihat bola itu masuk di bahagian bawah sudut, saya tidak pernah terfikir dapat melakukan sebaik itu sebelum ini. Jelasnya ia adalah saat yang sangat istimewa,” katanya.
Pada aksi separuh masa pertama malam tadi menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mendapatkan kelebihan gol awal yang mana bintang muda Paris Saint-Germain, Xavi Simons meletakkan Belanda terdahulu di hadapan seawal minit ketujuh.
Selepas berjaya merompak bola daripada pemain tengah Arsenal, Declan Rice, Simons kemudiannya melepaskan rembatan deras menuju ke penjuru atas gawang England.
Keceriaan kem Oranje hanya bertahan selama 11 minit. The Three Lions kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil Jerman, Felix Zwayer.
Ini selepas pegawai sistem bantuan video pengadil, Bastian Dankert memaklumkan Zwayer kekasaran yang dilakukan Denzel Dumfries ke atas Kane dalam kotak penalti. Bekas penyerang Tottenham itu mudah menewaskan Bart Verbruggen untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Bintang muda Manchester United, Kobbie Mainoo kurang bernasib baik apabila rembatannya pada minit ke-23 disekat Dumfries daripada melintasi garisan gol.
Pemain pertahanan Inter Milan itu kemudiannya hampir meletakkan Belanda di hadapan pada minit ke-30 apabila menanduk hantaran sepakan sudut. Malangnya, tandukan Dumfries terkena palang.
Oranje nyaris ketinggalan apabila bintang muda Manchester City, Phil Foden melepaskan rembatan cantik dari luar kotak penalti dua minit selepas itu. Foden hampa kerana rembatannya juga terkena palang.
Belanda ditimpa malang apabila peledak utama mereka, Memphis Depay terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-39. Depay digantikan oleh pemain tengah PSV Eindhoven, Joey Veerman.
Kedua-dua pasukan saling mengasak untuk mendapatkan gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Oranje memasukkan Wout Weghorst untuk mengetuai bahagian serangan. Sementara England pula memasukkan Luke Shaw menggantikan Kieran Trippier.
Simons hampir menggugat gawang The Three Lions pada minit ke-77 tetapi percubaannya berjaya dipatahkan penjaga gol Everton, Jordan Pickford.
Melihat Kane semakin keletihan, jurulatih England, Gareth Southgate memasukkan peledak berbisa Aston Villa, Ollie Watkins pada minit ke-81.
Percaturan yang dibuat Southgate membuahkan hasil apabila Watkins melepaskan rembatan deras menewaskan Verbruggen pada minit ke-90 yang mana tersebut sudah cukup membawa England ke final buat kali kedua berturut-turut sejak edisi 2020.